KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang suspek lelaki warga Britain, Paul Geoffrey Stadlen, 39, yang dicari disyaki terlibat dengan skandal kes berprofil tinggi 1Malaysia DeveIopment Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, Stadlen dicari kerana dia dipercayai merupakan salah seorang suspek yang terlibat dengan siasatan 1MDB yang kini sedang dijalankan.
“Pihak kami mencari Stadlen disebabkan dia adalah salah seorang individu yang terlibat dengan 1MDB.
“Namun begitu, kami tidak boleh mendedahkan sama ada siasatan terhadap Paul (Stadlen) mempunyai kaitan dengan mana-mana siasatan yang sedang dijalankan sekarang,“ katanya kepada pemberita pada sidang akhbar ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedang mengesan Stadlen yang juga bekas pegawai kanan syarikat Apco Malaysia bagi membantu siasatan 1MDB. – K! ONLINE











