KUALA LUMPUR 2 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan hadir ke kediaman peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta di sini bagi mendapatkan maklumat mengenai siasatan tertentu.
Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pegawainya hanya berjumpa dengan pihak Najib dan tidak membuat serbuan.
“Pegawai saya berjumpa dengan pihak Najib untuk mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan tertentu.
“Ada satu siasatan, namun saya tidak bercadang untuk mendedahkannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, sebanyak lima kenderaan antaranya daripada SPRM tiba di kediaman Ahli Parlimen Pekan itu kira-kira pukul 11 pagi.
Kira-kira 10 individu dilihat memasuki kediaman tersebut.
Kemudian, kenderaan terbabit dilihat meninggalkan kediaman itu pada pukul 12.30 tengah hari bersama sebuah kereta peronda polis dan sebuah lagi kenderaan lain. – UTUSAN ONLINE










