SPRM diminta lebih berhati-hati keluarkan kenyataan - GPMS - Utusan Malaysia

SPRM diminta lebih berhati-hati keluarkan kenyataan – GPMS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak yang terlibat tangani rasuah lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak khususnya profesion perguruan di negara ini yang banyak menyumbang bakti dan berkorban dalam mendidik anak bangsa.

Naib Pengerusi GPMS, Nor Halmey Hamdah berkata, pihaknya secara dasarnya menyambut baik usaha SPRM yang mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya menjadikan subjek rasuah sebagai subjek wajib peperiksaan di sekolah dan bersetuju budaya anti rasuah perlu ditanam dari peringkat awal lagi bagi mengelak merebak apabila dewasa.

“Secara dasarnya, GPMS berpegang teguh kepada prinsip untuk menyokong apa sahaja usul yang bertujuan membanteras rasuah di peringkat awal usia yang dicadangkan oleh SPRM, akan tetapi justifikasi yang dibuat harus lebih berhati-hati agar tidak menyentuh sensitiviti dan mencemarkan profesion perguruan serta bidang pendidikan di negara ini.

“Kenyataan yang dibuat oleh SPRM jelas sekali adalah satu kes yang terpencil dan tidak wajar jadikan justifikasi untuk memperkenalkan subjek rasuah di sekolah,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull menerusi Forum Permuafakatan SPRM-Kementerian Pendidikan mendedahkan terdapat kes pelajar memberi wang rasuah kepada rakan sekelas bagi membolehkan dilantik sebagai ketua kelas dan ada juga kes untuk mendapat sokongan sebagai ketua pengawas dan terdapat kes guru meminta habuan seks daripada pelajar untuk lulus peperiksaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN