KUALA TERENGGANU 12 Nov. – Semua Ibu Pejabat Polis Daerah di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi memohon agar Konstabel Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemukan.
Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail yang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa berkata, langkah itu sebagai salah satu ikhtiar agar operasi mencari berhasil.
“Ia adalah ikhtiar kita sebagai orang Islam di samping usaha-usaha lain seperti menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita dalam majlis penyerahan surat tawaran umrah oleh Pengerusi Yayasan 1 Ummah, Datuk Jailani Ngah kepada johan tilawah al-Quran peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Koperal Mohd Zamzuri Irwan Mat Jusoh, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada 9 November lalu, Wan Mohd Arif, 28, sedang mengejar seorang suspek kes samun yang dikenali sebagai ‘Zam Ayam’, namun anggota polis itu dan suspek tergelincir ke dalam sungai tersebut.
Aidi berkata, siasatan mendapati Wan Mohd Arif mematuhi prosedur operasi standard ketika melaksanakan tugasnya semasa kejadian itu.
“Wan Mohd Arif, seorang anggota yang aktif bersukan dan selalu melakukan rondaan memang arif dengan kawasan itu kerana bertugas di Balai Polis Paka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










