Solari masih percayakan Bale - Utusan Malaysia

Solari masih percayakan Bale

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID 6 Nov. – Gareth Bale seorang pemain yang menakjubkan, tegas ketua jurulatih sementara Real Madrid, Santiago Solari walaupun dia memutuskan untuk mengeluarkan pemain itu pada minit ke-71 ketika bertemu Real Valladolid Sabtu lalu.

Keputusan itu nyata berbaloi apabila pemain muda ber­usia 18 tahun Vinicus Junior memberi impak besar dengan menjaringkan gol sulung Real dalam perlawanan tersebut.

Situasi terbaru itu pastinya mengancam kedudukan Bale menjelang kunjungan pasukannya ke atas Viktoria Plzen dalam kempen Liga Juara-juara esok.

“Bale pasti akan menjaringkan gol pada hari lain dan penyokong akan meraikannya. Orang mula meminati Vinicius tetapi masih banyak lagi kelemahannya yang perlu diatasi. Dia perlu lebih bersikap matang,” kata Solari.

Pemain antarabangsa Wales itu bermula dengan baik pada awal musim ini apabila meledak empat gol serta membantu menjadi arkitek kepada dua gol daripada enam perlawanan pertama.

Walau bagaimanapun selepas berdepan kecederaan, selain tidak sehaluan dengan jurulatih ketika itu Julen Lopetegui, rentak permainannya kelihatan terjejas.

Dalam sembilan perlawanan terakhir, Bale sudah digantikan sebanyak tujuh kali de­ngan lima daripadanya ketika pasukannya ketinggalan gol, satu daripadanya ketika seri tanpa jaringan dengan Atletico Madrid.

Namun, Solari mempu­nyai pilihan lebih baik dengan menurunkan Vinicius bersama Bale di bahagian jentera sera­ngan berbanding mengeluarkan salah satu antara mereka sekali gus menajamkan lagi jentera serangan Los Blancos.

Solari juga tahu, menewaskan Plzen atau sekurang-kurangnya seri menentang Celta Vigo minggu ini mampu menyelamatkan jawatannya hingga penghujung musim ini.

Untuk itu dia memerlukan lebih banyak jaringan dan Bale perlu melakukannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN