KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa menghargai sokongan yang diberikan masyarakat Cina terhadap pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata, ini jelas terbukti dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat lepas di mana sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), RM15 juta untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan RM12 juta untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Cina yang telah mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas dan telah memenangkan Pakatan Harapan,” katanya pada majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-95 Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (DPCKLS) di Bangunan DPCKLS yang berstatus Warisan Kebangsaan di sini malam ini.
Katanya, pada masa sama, kerajaan juga memberi jaminan bahawa kepentingan semua kaum di negara ini diambil kira.
Dalam pada itu, Wan Azizah berharap jalinan persahabatan di antara kerajaan dengan DPCKLS akan terus diperkukuhkan. – Wan Azizah











