KERAJAAN negeri Perak mengumumkan insentif wang tunai berjumlah RM10,000 dan satu lot tapak rumah kepada pemain dan pegawai pasukan Perak yang berjaya menjulang Piala Malaysia 2018 baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (gambar kecil) berkata, insentif tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berjaya membawa pulang piala berprestij itu ke negeri ini selepas penantian selama 18 tahun.
“Selain insentif yang diberikan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), kerajaan negeri akan menambah RM10,000 kepada setiap pemain selain pingat yang telah dikurniakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam (kelmarin).
“Kita juga akan berikan satu lot (tapak) rumah kepada pemain dan pegawai pasukan. Kita akan memberikan insentif ini secepat mungkin,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2018 di Dataran Pavilion, Kuala Kangsar semalam.
Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan pemberian insentif kepada pasukan hoki Perak yang memenangi Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat membuat pengumuman hari ini kerana perkara itu belum lagi dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.
Baru-baru ini, kerajaan negeri memberi insentif sebanyak RM15,000 seorang kepada setiap pemain pasukan bola sepak negeri selepas berjaya melangkah ke peringkat akhir saingan Piala Malaysia 2018.
Ahmad Faizal mengumumkan insentif itu bagi menaikkan lagi semangat para pemain bagi menghadapi perlawanan separuh akhir yang dijalankan secara timbal balik antara Perak dan Sabah bulan lalu.










