KUALA LUMPUR 15 Nov. – Skim FundMyHome yang mendapat pelbagai reaksi negatif sepanjang minggu ini tidak disasarkan kepada golongan berpendapatan pertengahan dan rendah kerana mereka yang berminat perlu memiliki wang mencukupi bagi membayar sebanyak 20 peratus daripada harga rumah.
Pengerusi The Edge Property Sdn. Bhd., Tong Kooi Ong berkata, tidak ada kumpulan pendapatan tertentu disasarkan tetapi konsepnya mudah, skim itu untuk pembeli yang mempunyai duit mencukupi atau mereka yang layak membuat pinjaman.
Katanya, FundMyHome yang melibatkan pembeli dan bank-bank mengambil bahagian dalam pembiayaan pembelian rumah, bukan satu penyelesaian kepada pemilikan rumah mampu milik.

“Sesetengah orang berfikir peranan kami adalah untuk membekalkan rumah kepada semua orang tetapi kita tidak boleh. Bagaimana seseorang dengan gaji sebanyak RM1,000 atau RM1,500 setiap bulan dan dua orang anak mempunyai wang RM60,000?
“Perumahan untuk golongan miskin adalah tanggungjawab agensi-agensi kerajaan bukan sektor swasta. FundMyHome disifatkan sebagai pilihan alternatif, bukannya penyelesaian utama bagi isu pemilikan rumah,” katanya pada sesi soal jawab FundMyHome di sini hari ini.
Portal FundMyHome.com telah dilancarkan pada 4 November lalu merekodkan kira-kira 4,000 pendaftaran dalam kalangan orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut.
Portal hartanah, EdgeProp.my selaku penyelaras mekanisme terbaharu pemilikan rumah, menerusi FundMyHome.com akan menawarkan kira-kira 1,000 unit kediaman merangkumi nilai hartanah bawah RM500,000.
Penawaran hartanah berkenaan membabitkan sembilan pemaju iaitu EcoWorld Development Group Bhd.; IJM Land Bhd.; IOI Properties Group Bhd.; Mah Sing Group Bhd.; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); PNB Development Sdn. Bhd.; Sunway Bhd.; Trinity Group Sdn. Bhd. dan UEM Sunrise Bhd.
Mengenai kegagalan mekanisme yang hampir sama di Amerika Syarikat (AS) dan China, Kooi Ong berkata, semua perkara baharu memerlukan masa dan apa yang berlaku sekarang adalah isu persepsi.
Beliau yang tidak pasti sama ada model yang sama pernah diperkenalkan di negara luar menegaskan bahawa terdapat banyak kemungkinan dalam persekitaran digital meliputi pelbagai negara berbeza.
“Siapa sangka model perniagaan Grab dan Uber yang dahulunya tidak wujud dan dirasakan tidak mungkin kini telah berjaya?
“Kami terbuka untuk menerima sebarang kritikan, komen dan pandangan malah bersedia untuk sebarang perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam hal ini,” katanya.
Kooi Ong berkata, FundMyHome memerlukan pembeli rumah membayar sebanyak 20 peratus harga rumah menggunakan wang sendiri atau pinjaman bank manakala baki sebanyak 80 peratus pula dibantu melalui dana daripada pelabur.
“Penghuni rumah itu tidak boleh keluar dari komitmen sepanjang lima tahun ini kerana ia akan menimbulkan spekulasi kepada pasaran hartanah,” katanya.











