BESUT – Sistem antidron akan digunakan pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Langkawi pada Mac tahun depan, kata Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Affendi berkata, penggunaan sistem itu bertujuan mengelak sebarang unsur sabotaj di kawasan pameran memandangkan dron merupakan satu ancaman bukan konvensional.
Katanya, buat masa ini, pihaknya bersama sebuah syarikat pertahanan tempatan telah membangunkan sistem berkenaan.
“Sistem ini telah dicuba pada Eksesais Paradise 5/18 yang berlangsung selama 14 hari bermula 21 Oktober lepas.
“Melalui sistem ini, komunikasi daripada pengendali dron ke sistem dapat dimatikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Eksesais Paradise 5/18 di Pangkalan TUDM Gong Kedak di sini hari ini. – Bernama










