LOS ANGELES 9 Nov. – Siri prekuel Star Wars terbaharu disahkan bakal ‘masuk panggung’ dalam tempoh beberapa tahun lagi, namun kali ini bakal ditayangkan menerusi laman penstriman Disney+ milik Walt Disney Co.
Siri terbaharu itu merupakan prekuel kepada Rogue One: A Star Wars Story yang ditayangkan pada 2016.
Menurut Ketua Eksekutif Disney, Bob Iger, prekuel berkenaan akan menampilkan Diego Luna sebagai watak utama.
Tambahnya, siri terbabit bakal memulakan penggambaran pada tahun hadapan.
Siri tersebut akan memaparkan pengembaraan misi watak perisik Cassian Andor yang dilakonkan oleh Diego dalam usaha untuk menghapuskan cengkaman Empire.
Luna dalam satu kenyataan berkata, format bersiri itu akan memberi peluang untuk ‘meneroka watak berkenaan dengan lebih dalam’.
Tarikh tayangan siri tersebut bagaimanapun masih belum diumumkan.
Ujar Iger, Disney juga merangka satu siri terbaharu berdasarkan watak penjahat terkemuka Marvel iaitu Loki. – REUTERS










