KEPALA BATAS 13 Nov.- Sindiket Macau Scam terus mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil penipuan ke atas orang ramai di negeri ini dengan terbaharu sebanyak RM120,000 lagi digelapkan sindiket itu semalam.

Mangsa terbaharu itu merupakan seorang lelaki yang bekerja sebagai kerani akaun berusia 39 tahun yang menjadi mangsa selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa wakil pihak mahkamah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dimaklumkan dia mempunyai kes mahkamah, namun tidak hadir bagi perbicaraan sebelum talian itu disambungkan kepada pihak lain yang didakwa Balai Polis Kuantan, Pahang.
“Mangsa telah bercakap dengan lelaki yang mendakwa anggota polis bernama Sarjan Ang dan dimaklumkan terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan kes dadah.
“Bagi menakutkan mangsa, ‘polis’ itu memberitahu seorang suspek lain yang terlibat dengan mangsa telah ditahan dan meminta mangsa supaya tidak memaklumkan hal itu kepada sesiapa kerana kes masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.
Noorzainy memberitahu, mangsa yang ketakutan kemudian membuat pemindahan wang melalui sistem perbankan internet ke akaun bank seperti diarahkan.
Katanya, pindahan itu membabitkan lima transaksi wang dilakukan dalam tempoh seminggu melibatkan jumlah keseluruhan RM120,000.
“Sindiket ini berjaya meyakinkan mangsa apabila memaklumkan wang tersebut adalah bagi tujuan siasatan sahaja dan akan dipindahkan kepada pihak Juruaudit Negara.
“Bagaimanapun, dia akhirnya menyedari telah ditipu selepas transaksi itu selesai sebelum membuat laporan polis semalam,’” katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










