KLANG – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan arak tiruan dengan merampas 1,704 tin dan botol pelbagai minuman keras dalam serbuan di sebuah rumah teres di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini malam tadi.
Serbuan pukul 8.30 malam itu turut menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 37 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejayaan tersebut adalah hasil risikan pihaknya terhadap kegiatan penjualan arak haram kepada pekerja-pekerja kilang warga Myanmar di sekitar daerah tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Pemeriksaan terhadap rumah tersebut berjaya merampas 1,560 tin dan 144 botol arak tiruan pelbagai jenama termasuk jenama Tiger, Kingfisher, Avigers, Pelican dan Grand Royal.
“Turut dirampas adalah 3,633 botol kosong, sekotak pelekat arak jenama Grand Royal dan dua buah tong masing-masing berisi minuman keras dan karamel dengan nilai rampasan kesemua barangan dianggarkan RM30,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan suspek gagal menyerahkan lesen perniagaan minuman keras dan mengaku menjalankan urusan memproses minuman keras tiruan.
Jelas Shamsul, pihaknya kini masih mengesan seorang lagi suspek dipercayai ketua sindiket terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal juga mendapati sindiket ini menjual minuman arak tiruan tersebut pada harga sekitar RM5 hingga RM8 dengan kuantiti 350 mililiter.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam,” katanya. – K! ONLINE










