PULAU PINANG 14 Nov. – Seramai 70 saksi daripada pelbagai jabatan dan agensi berkaitan telah diambil keterangan berhubung tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, sehubungan itu, pihaknya percaya siasatan kes tersebut hampir selesai ketika ini.
“Dijangkakan, hasil siasatan ini akan dikemukakan untuk tatapan dan kajian pihak yang berkenaan sementara menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri.
“Arahan tersebut dijangka dikeluarkan dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang pada 19 Oktober itu, sembilan warga asing terkorban apabila tanah runtuh menghempap kontena yang dijadikan rumah mereka di tapak projek pembinaan jalan raya berkembar di situ.-UTUSAN ONLINE










