KUALA LUMPUR 12 Nov. – Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyalurkan bantuan khusus kepada golongan nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil menerusi pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini dibidas dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, secara keseluruhan golongan tersebut menerima bantuan kerajaan yang dikurangkan lebih RM500 juta berbanding kerajaan sebelum ini.
Walau bagaimanapun, menurut beliau yang langsung tidak boleh diterima ialah tidak dinyatakan langsung status inisiatif jaringan keselamatan sosial yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) seperti Bantuan Musim Tengkujuh dan Bantuan Khas menunggu Musim Menuai.
“Bantuan ini bukan untuk beli undi mereka. Bantuan ini tentang mereka dapat makan atau tidak. Ini kerana bagi golongan ini, ketika musim tengkujuh, ketika menunggu musim menuai, mereka hilang punca pendapatan utama.
“Sekarang saya nak tanya, kalau bukan kerajaan yang bantu golongan ini sewaktu musim-musim sebegini, siapa yang nak bantu mereka,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar sebagai mewakili Ketua Pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Khairy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Kabinet Bayangan BN berkata, Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan PH mempunyai empat prinsip utama.
“Empat prinsip tersebut adalah pertama, copy paste; kedua,tukar nama atau rebranding; ketiga, kesinambungan atau continuation dan keempat, belanjawan tidak lengkap dan ia merupakan kesinambungan daripada pentadbiran BN sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang bangkit mencelah perbahasan tersebut juga menyatakan bahawa Belanjawan 2019 itu sekadar copy paste dan penjenamaan semula daripada kerajaan BN.
“Agaknya adakah belanjawan ini adalah belanjawan air mata rakyat?” katanya.










