SPEKULASI senarai pendek calon Ballon d’Or bagi musim ini semakin bertiup kencang.
Tiga nama disebut-sebut bakal menggondol anugerah terbesar bola sepak dunia itu ialah kapten Croatia yang juga pemain Real Madrid, Luka Modric, selain dua pemain Perancis, Kylian Mbappe (Paris Saint-Germany) dan Raphael Varane (Real Madrid).
Bagaimanapun, nama pemenang bagi edisi lalu, Cristiano Ronaldo tercicir daripada senarai tersebut dan keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang jurulatihnya di Juventus, Massimiliano Allegri.
Allegri mengakui tidak bersetuju dengan pilihan tersebut yang mana beliau percaya Ronaldo seharusnya diberikan penghormatan.
“Saya tidak tahu mengenai calon-calon Ballon d’Or tetapi apa yang Ronaldo telah lakukan membolehkan dia layak menerimanya,” ujar Allegri.
Modric membantu Real Madrid merangkul kejuaraan hatrik Liga Juara-Juara musim ini selain memimpin Croatia ke pentas final Piala Dunia 2018 di Rusia Jun lalu.
Mbappe dan Varane pula membantu Perancis muncul juara Piala Dunia setelah menewaskan Croatia 4-2.
Senarai pendek tiga calon yang bakal memenangi Ballon d’Or dijangka diketahui bulan depan, manakala pemenang akan diumumkan pada Januari 2019.











