Shuib, Pablo Amirul cipta rekod MBOR bersama lebah - Utusan Malaysia

Shuib, Pablo Amirul cipta rekod MBOR bersama lebah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Pelawak dan pelakon, Shuib Sepahtu dan Pablo Amirul disenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pencapaian Bilangan Lebah Terbanyak Pada Badan Manusia kategori Lelaki di Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam cabaran selama 30 minit itu, sebanyak 340,000 ekor lebah daripada 17 sarang dilepaskan ke atas tubuh kedua-dua pelakon tersebut yang hanya memakai seluar panjang dan tidak berbaju.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad berkata, beliau yang berkecimpung dalam perniagaan madu lebah sejak setahun lalu menerima cabaran daripada syarikat Madu Tiga Sdn. Bhd. bagi mendalami ilmu berkaitan madu dan serangga tersebut.

“Untuk mendekati serangga tersebut saya perlu duduk dekat dan ‘berkomunikasi’ dengannya walaupun kaedah itu nampak pelik.

“Sebelum ini saya ada buat kajian tentang lebah dan madu tetapi kali ini saya merasai pengalaman duduk bersama lebah.

“Memang kerja gila dan tak pernah terfikir untuk melakukannya. Saya akui cabaran ini memang menakutkan sehingga tak boleh pejamkan mata sebab kita berhubung dengan haiwan yang kita tak tahu bagaimana tindak balasnya,” katanya.

Shuib berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sijil ‘Most Number Of Bees On Human Body (Male)’ oleh MBOR anjuran syarikat pengeluar madu, Madu Tiga Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut, Shuib memberitahu, beliau bersyukur kerana ramai pihak termasuk isterinya, Siti Sarah Raisuddin dan rakan-rakan artis memberi sokongan penuh kepada beliau untuk menyertai cabaran tersebut.

“Walaupun disengat sepanjang 30 minit cabaran ini, saya tidak mudah mengalah dan terus bertahan. Saya anggap ini adalah pencapaian terbaik peribadi mengatasi pencapaian dalam dunia hiburan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarah memberitahu, dia tidak mengetahui hasrat suaminya untuk menyertai cabaran itu dan hanya mengetahuinya selepas melihat rakan-rakan artis memberikan kata semangat kepada Shuib.

“Tiada perbincangan antara kami pada awalnya. Walauapa pun saya bersyukur cabaran ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Selain doa, Siti Sarah memberitahu, mereka sekeluarga termasuk mentuanya menganjurkan solat hajat bagi mempermudahkan urusan suaminya itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN