KEJAYAAN tahun lalu yang memberikan makna tersendiri menjadi pendorong utama buat Shahrom Abdullah untuk mempertahankan gelaran atlet lelaki terbaik dalam saingan Ironman Malaysia Langkawi edisi ini.
Saingan sukan lasak di Langkawi itu akan menyambut ulang tahun ke-40 Ironman 2018 dengan laluannya yang panjang dan berangin, selain pemandangan indah yang merangkumi pantai serta bukit bukau bakal membuka tirai pada 15 hingga 17 November ini.
Sebagai persiapan untuk berdepan kejohanan peringkat antarabangsa tersebut, atlet kelahiran Kelantan itu telah melakukan persiapan rapi untuk terus mengekalkan kejayaannya biarpun dia bakal ditentang hebat oleh Mohd. Amran Abdul Ghani yang merupakan bekas pemegang gelaran yang sama sebanyak dua kali.
Mengimbas kejayaan tahun lalu, Shahrom menamatkan perlumbaan dengan catatan 10 jam 19 minit 52 saat tanpa sebarang tentangan telah memberikan keyakinan buat dirinya untuk mengulangi kembali detik manis tersebut pertengahan November ini.
“Saya secara konsisten telah mengungguli arena duatlon dan powerman tanah air untuk sekian lama.
“Berbekalkan kejayaan tahun lalu, kali ini pastinya saya lebih bersemangat untuk mempertahankan gelaran tersebut supaya nama saya terus dipahat di pentas Ironman Malaysia Langkawi,” katanya.
Pada masa sama, Shahrom mengakui beliau perlu lebih baik membahagikan masa supaya tahap kecergasannya tidak terjejas ekoran atlet berusia 39 tahun tersebut juga turut mempunyai perniagaannya tersendiri iaitu membaiki basikal.
“Disebabkan kerjaya juga perlu diberikan keutamaan, saya harus memulakan latihan pada awal pagi setiap hari supaya fokus untuk kejohanan tahun ini tidak terjejas.
“Saya perlu bijak menguruskan masa kerana pada sebelah malam pula, saya perlu melatih anak-anak buah saya yang bakal bertanding pada Ironman Malaysia Langkawi nanti.
“Sebagai alternatif untuk mengekalkan tenaga pada tahap terbaik, biasanya saya akan mengambil makanan tambahan seperti bar dan jel tenaga, namun untuk berbasikal jarak jauh, saya memilih madu sebagai sumber tenaga utama,” katanya.
Ironman melibatkan gabungan kecergasan dan lasak seseorang atlet merangkumi aksi tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan larian 42.2km yang perlu diselesaikan dalam tempoh sehari.
Langkawi sentiasa kekal menjadi destinasi indah serta mencabar yang perlu ditawan peserta Ironman pada setiap tahun selepas penganjuran di Malaysia pertama kali diadakan pada tahun 2000 dan sejak itu ia diadakan secara berterusan hampir dua dekad lama.
Walaupun terhenti seketika, Ironman Malaysia tidak menunggu lama untuk membuat penampilan semula pada 2014 di Langkawi selepas mendapat sokongan Malaysia Major Events di bawah Kementerian Pelancongan.
Sementara itu, Shahrom yakin Amran yang pernah mengungguli kejuaraan pada tahun 2014 dan 2016 pastinya akan tampil dengan lebih yakin untuk merampas gelaran tersebut selepas beliau terpaksa melupakan hasratnya untuk mempertahan kejuaraan tahun 2017 kerana dalam proses pemulihan daripada kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan.
Amran kini kembali dengan keazaman untuk merampas kejuaraannya daripada tangan Shahrom dan mengembalikan statusnya selaku Ironman terunggul Malaysia.
“Ia bukan misi mudah, namun saya sudah bersedia biarpun Shahrom pastinya tidak akan memberikan laluan mudah untuk saya.
“Tekanan yang ada dalam diri sememangnya tinggi, terutamanya selepas saya pernah meraih gelaran atlet terbaik Malaysia dua kali sebelum ini.
“Sama ada ahli keluarga, mahupun rakan sekerja dan penaja, semuanya mengharapkan saya untuk melakukan yang terbaik terutama selepas mengetahui kini saya bakal mengambil bahagian untuk kejuaraan tahun ini.
“Justeru, saya percaya cara terbaik untuk berdepan dengan tekanan ini adalah dengan memastikan saya mendapat rehat secukupnya.
“Saya juga perlu mengambil makanan mengikut diet sihat dan seimbang untuk membolehkan tenaga saya pulih dengan baik selepas selesai menjalani latihan berat,” kata Amran.











