KANGAR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tiba di Mahkamah Sesyen di sini kira-kira pukul 8.20 pagi tadi bagi mendengar pertuduhan dakwaan mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Perlis pada 20 Oktober lalu.
Shahidan hadir dengan ditemani isteri, Datin Seri Shamsiah Md. Yassin selain penyokongnya yang menunggu sejak pukul 8 pagi.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu hadir dengan lengkap berpakaian kot, songkok dan memakai cermin mata berwarna hitam selain bertongkat.
Kosmo! pada Jumaat lalu minggu lalu melaporkan, Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis mengeluarkan waran tangkap terhadap Shahidan selepas beliau gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan berkaitan kes mencabul seorang pelajar sekolah di Perlis.
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Johari Hassan selepas dimohon oleh Ketua Pendakwa Raya Perlis, Mohd. Nordin Ismail terhadap bekas Menteri Besar Perlis itu.
Peguam bela Shahidan, Syed Muhamad Anwar Syed Lokman Hakim bagaimanapun membantah pengeluaran waran tangkap tersebut kerana anak guamnya dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenai pertuduhan itu lebih awal.
Kejadian itu didakwa berlaku pada 20 Oktober lalu di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis kira-kira pukul 11.30 malam.
Namun, bapa mangsa telah menarik balik laporan keesokan harinya selain berkata kejadian itu hanya merupakan salah faham.
Shahidan yang berusia 67 tahun merupakan ikon politik terkenal di Perlis kerana pernah menjadi Menteri Besar negeri itu bermula 1995 hingga 2008. – K! ONLINE










