Shafie tidak gentar dengan cubaan singkir beliau - Utusan Malaysia

Shafie tidak gentar dengan cubaan singkir beliau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak akan tergugat dengan cubaan berterusan Tan Sri Musa Aman menyingkirkan beliau dari jawatan Ketua Menteri setelah tewas di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Shafie berkata, beliau berharap kesemua pihak menerima keputusan itu dengan terbuka dan fokus dalam meneruskan misi memperkukuhkan kerajaan negeri dengan membangunkan Sabah demi keselesaan rakyat.

Tegas Shafie, tempoh berpolitik telah pun berlalu dan beliau perlu memastikan perancangan kerajaan negeri berjalan dengan lancar selepas kira-kira enam bulan pentadbiran kerajaan gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan) itu terjejas akibat status sah jawatan Ketua Menteri.

“Saya hendak bangunkan Sabah dan membela rakyat negeri ini. Kita tidak mahu ada keraguan dan kebimbangan dalam membuat pentadbiran.

“Cukuplah kita berpolitik. Zaman Pilihan Raya Umum (PRU) telah berlalu dan terimalah hakikat. Setiap rakyat mempunyai hak memilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan ucapan bajet Belanjawan Negeri 2019 kepada Setiusaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Pg. Hassanel Mohd Tahir Nasruddin di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Mengulas mengenai kesediaan Musa membuat rayuan mematahkan keputusan Mahkamah Tinggi, Shafie berkata, tindakan itu merupakan hak individu.

“Itu hak dia, saya mahu jaga Sabah,” katanya ringkas.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Yew Jen Kie menggurkan saman Musa yang mendakwa pelantikan Shafie sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei lalu sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Shafie yang juga Presiden Warisan menafikan sebarang tindakan lompat parti melibatkan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam kerajaannya.

“Itu spekulasi. Kita percaya mereka (ADUN) lebih matang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN