KONVOI bermotosikal melangkau sempadan tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat negara ini. Malah rakyat Singapura juga kerap melakukan aktiviti yang sama bagi menikmati pemandangan dan destinasi menarik di negara Thailand.
Pengalaman berkonvoi ke negara ‘gajah putih’ yang melibatkan motosikal berkuasa tinggi, sederhana atau kapcai memang mengujakan.
Malah pengalaman itu dianggap berharga dan tidak boleh ‘dibeli’ di mana-mana.
Baru-baru ini, penulis berpeluang menjelajah ke Chiang Mai dan Mae Hong Son yang terletak di utara Thailand dengan bermotosikal. Konvoi kali ini menambah lagi koleksi pengalaman penulis bersama tiga rakan.
Dalam pengembaraan sejauh hampir 600 kilometer (km) itu, kami memilih untuk tidak membawa motosikal sendiri dari Malaysia kerana mahu menjimatkan masa dan perbelanjaan.
Sebaliknya, kami menyewa motosikal dari sebuah kedai di Chiang Mai. Kedai itu menawarkan pelbagai jenis motosikal daripada skuter biasa, skuter maxi, motosikal kembara, motosikal sukan dan scrambler.
Puas membelek setiap sudut motosikal yang ada, kami sepakat menyewa jentera dua roda jenis skuter. Honda Forza 300 dipilih memandangkan keadaan motosikal yang masih baharu, ruang menyimpan barang dan ciri-ciri keselamatannya.
Tepat pukul 9 pagi waktu tempatan, perjalanan kami dimulakan dengan singgah mengisi minyak di stesen berdekatan, kemudian terus menuju ke check point pertama iaitu Taman Negara Doi Inthanon di Chom Thong.
Perjalanan kira-kira 100 km dari Chiang Mai menggunakan Route 108 itu lancar. Ini kerana kami belum memasuki laluan berselekoh dan masing-masing masih cuba mengenali keupayaan jentera.
Setelah meluncur selama satu jam di laluan lurus, kami membelok ke Route 1009. Di situ, riak wajah masing-masing mula menampakkan kegembiraan dan teruja tetapi sentiasa berwaspada apabila selekoh demi selekoh dilayani.
Tidak lama kemudian, kami tiba di pintu masuk pertama Taman Negara Doi Inthanon, lokasi yang menempatkan kaunter jualan tiket untuk menaiki puncak gunung tertinggi di Thailand.
Oleh kerana mahu menjimatkan masa, kami membuat keputusan untuk tidak naik ke atas, sebaliknya cukup sekadar bergambar di kaki gunung yang terpapar papan tanda berlatar belakang gunung tersebut.
Memandangkan ini kali pertama kami melalui jalan tersebut, maka banyak masa ‘dikorbankan’ apabila kami kerap berhenti untuk bergambar.
Setelah puas merakamkan pelbagai aksi menarik di lensa kamera masing-masing, kami meneruskan perjalanan ke Mae Hong Son yang bersempadan dengan Myanmar.
Dari Route 1009, kami meneruskan konvoi ke laluan berselekoh di Route 1192. Ia adalah simpang sebelah kiri setelah melepasi pos kawalan kedua Taman Negara Doi Inthanon. Kemudian kami memasuki Route 1088 dan Route 1263.
Kesemua selekoh tajam itu mencabar kemahiran penunggang, ditambah pula dengan permukaan jalan yang basah akibat hujan serta mengekori belakang kenderaan lain.
Namun, pemandangan memukau gunung-ganang di kiri dan kanan jalan melapangkan dada kami yang agak risau untuk sampai ke destinasi sebelum hari gelap. Ini kerana sepanjang laluan itu, boleh dikatakan hanya 10 peratus laluan lurus, manakala selebihnya adalah selekoh ke kiri atau ke kanan.
Perjalanan hari pertama lancar dan kami selamat tiba di Ban Phumon Talang Resort, kurang lima kilometer dari pusat pentadbiran Mae Hong Son.
Pada hari kedua, kami meneruskan perjalanan ke Pai, sebuah bandar dalam wilayah Mae Hong Son. Jarak yang ditempuh adalah 100 km.
Kami singgah di Chamber of Commerce, berhadapan Pejabat Pos Mae Hong Son untuk mendapatkan sijil bagi ‘membuktikan’ kami telah berjaya menakluk sebanyak 1,864 selekoh di situ.
Biarpun sijil itu berharga RM7.60 (60 baht), namun ia memberi kepuasan seperti menggenggam segulung ijazah kerana susah payah, perit jerih bermotosikal di laluan dikenali Thousand Corner itu.
Sepanjang perjalanan ke Pai, kami berhenti di banyak juga lokasi untuk mengambil gambar kerana pemandangannya yang menakjubkan. Dalam pada itu, jangan ingat laluan berselekoh sudah berakhir kerana itulah ‘sifat’ jalan raya di situ yang terkenal dalam kalangan penunggang motosikal untuk menguji kemahiran masing-masing di Route 1095 pula.
Kira-kira pukul 2.30 petang, kami tiba di Pai yang menjadi tarikan pelancong kerana memiliki banyak lokasi menarik seperti Tha Pai Memorial Bridge, jambatan yang dibina tentera Jepun pada 1941 semasa Perang Dunia Kedua.
Menjelang senja, kami memasuki pinggir bandar Chiang Mai dan tiba di hotel tidak lama kemudian. Kami puas dapat melayan sebanyak 1,864 selekoh dari Chiang Mai-Mae Hong Son-Chiang Mai.
Setelah dua hari berkonvoi, kami mencatat perbatuan sejauh 570 kilometer pergi dan balik. Pengalaman itu akan tersemat sebagai satu memori yang tidak akan dilupakan.










