SERENA WILLIAMS sudah tidak punya apa lagi untuk dikejar dalam sukan paling dicintainya, tenis kerana dia sudah memenangi segala-galanya yang diimpikan sebagai pemain.
Bintang kelahiran Michigan itu adalah pemilik 23 gelaran Grand Slam (perseorangan) dan empat pingat emas Sukan Olimpik, sekali gus meletakkannya dalam kelompok legenda tenis wanita.
Dia juga memegang rekod sebagai pemain paling lama dan tertua pernah menghuni ranking No. 1 dunia, malah secara keseluruhan Williams sudah menggondol 100 kejuaraan (perseorangan dan beregu) sepanjang 23 tahun bergelar pemain profesional.
Biarpun keghairahannya terhadap tenis masih membara, namun Williams merasakan pada usia menginjak 37 tahun, sekarang adalah waktu terbaik untuk menumpukan kepada satu lagi perkara yang amat diminati, fesyen.
Mungkin ada yang beranggapan tindakan Serena mengeluarkan jenama pakaiannya sendiri baru-baru ini disebabkan usianya yang kian meningkat selain ranking mula merudum apabila menghuni tangga ke-16 dunia ketika ini.
Sebenarnya, ibu kepada seorang anak perempuan berusia setahun, Alexis Olympia Ohanian itu sudah meminati fesyen sejak dari kecil dan pernah melanjutkan pengajian di Art Institute of Fort Lauderdale dalam jurusan fesyen pada 1999.
Begitupun jika selama ini Williams hanya berkolaborasi dengan Nike dan Home Shopping Network dalam menghasilkan koleksi pakaiannya, langkah isteri kepada pengasas Reddit, Alexis Ohanian itu kini lebih panjang apabila dia memperkenalkan jenamanya sendiri, Serena.
Sebahagian besar daripada 12 koleksi Serena direka oleh Williams sendiri dan mula dijual pada harga antara AS$35 (RM145) hingga AS$250 (RM1,000) pada hari pertama jualan, Mei lalu.
“Rekaan saya diilhamkan oleh wanita-wanita yang kuat, seksi, sofistikated, berani, yakin, bijak, bergaya, nakal serta spontan. Mereka yang menjalani kehidupan terbaik…Ia seperti kisah saya.
“Setiap kejayaan wanita wajar dijadikan inspirasi antara satu sama lain, jadi koleksi ini didedikasikan buat semua yang bersedia untuk memakai S (logo Serena),” kata Serena.
Meskipun baru dilancarkan, jenama Serena berjaya menambat hati Meghan Markle selepas Duchess of Sussex itu dilihat memakai blazer Serena Boss berharga AS$145 (RM605) ketika menemani suaminya, Putera Harry dalam lawatan ke Australia, bulan lalu.
Impak daripada itu, rekaan tersebut habis dijual dalam masa beberapa hari.
Selain jenama pakaiannya mendapat sambutan hangat, nama besar yang dimiliki Williams turut menjadikan dia sasaran utama World Wrestling Entertainment (WWE).
Usaha kini sedang dijalankan untuk memujuk Williams beralih ke gelanggang gusti hiburan itu, dan perkara tersebut diakui sendiri Ketua Eksekutif Jenama WWE, Stephanie McMahon.
“Serena! Saya mahu Serena. Dia sangat menakjubkan,” kata McMahon ketika ditanya selebriti wanita yang menjadi sasaran terbarunya untuk dibawa ke gelanggang gusti.
Serena Jameka Williams
TARIKH LAHIR: 26 September 1981
PENDAPATAN: AS$18.1 juta (RM75 juta)
HOBI: Berlakon, menonton filem, membaca, menghabiskan masa bersama keluarga
PENULIS KEGEMARAN: Maya Angelou
PENYANYI KEGEMARAN: Green Day, Beyonce, Mariah Carey, Brandy
MAKANAN KEGEMARAN: Ayam goreng, sushi
FILEM KEGEMARAN: Mama, There’s a Man in Your Bed
WARNA KEGEMARAN: Emas, unggu










