WASHINGTON 14 Nov. – Ahli politik Amerika Syarikat (AS) dalam Dewan Senat dijangka mengundi dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk menghukum Arab Saudi yang didakwa bertanggungjawab terhadap perang di Yemen dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat yang merupakan ahli Parti Republikan, Senator Bob Corker berkata, Dewan Senat bakal mengundi sebelum penghujung tahun ini atas satu resolusi yang menyekat semua bantuan serta akses kepada Arab Saudi berhubung peperangan di Yemen.
Katanya, langkah menghalang penjualan senjata ke Riyadh juga tidak mustahil untuk dilakukan namun pasti sukar.
“Barisan senator kini giat mencari jalan untuk memastikan Arab Saudi bertanggungjawab atas apa yang berlaku terutamanya dalam konflik perang di Yemen dan insiden pembunuhan Jamal yang menggemparkan dunia,” katanya.
Arab Saudi mengakui bahawa Jamal dibunuh dalam bangunan konsulat negara itu di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu.
Hasil beberapa siasatan mendapati mayat wartawan Washington Post itu dilupuskan menggunakan asid dan dibuang dalam longkang dalam premis Konsulat Arab Saudi di Turki.
Selain itu, kes Jamal juga secara tidak langsung meningkatkan kebimbangan dalam Kongres mengenai kerajaan Riyadh.
Kongres sebelum ini pernah melahirkan kebimbangan mengenai perang di Yemen terutamanya melibatkan banyak kematian penduduk awam ketika pasukan tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara di negara itu.
Peperangan di Yemen telah menyaksikan lebih 10,000 orang terkorban dan mencetuskan krisis kebuluran terbesar di dunia.
Dalam pada itu, Corker meminta Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Gina Haspel untuk hadir ke Capitol selewat-lewatnya hujung bulan ini bagi mendengar kebimbangan Senat mengenai konflik di Yemen serta kematian Jamal.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump melantik seorang pegawai tentera, John Abizaid sebagai Duta AS baharu ke Arab Saudi.
John dilaporkan fasih bercakap dalam bahawa Arab dan berketurunan Arab Lebanon.
Beliau sebelum ini pernah dihantar berkhidmat ketika perang di Iraq dan membuat kajian mengenai Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu. – REUTERS/AFP










