KUALA LUMPUR 3 Nov. – Satu seminar keusahawanan untuk usahawan dan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera bakal diadakan pada penghujung bulan ini bagi memberi peluang kepada mereka meneroka pasaran di Fiji.
Seminar ini merupakan kerjasama antara Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Sdn. Bhd. dan Hospitaliti Malaysia (MH) Group yang mensasarkan lebih 50 orang usahawan di bawah program tersebut.
Pengerusi MCCF Sdn. Bhd., Halim Ishak berkata, kerjasama ini merupakan kesempatan terbaik bagi pengusaha tempatan untuk menembusi pasaran negara itu.
“Pengusaha PKS perlu berani untuk mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa dan bukan hanya bersaing dalam pasaran tempatan.
“Produk seperti makanan dan minuman, kecantikan dan kesihatan, pakaian muslimah serta produk kegunaan rumah adalah antara barangan yang mendapat permintaan tinggi dalam negara itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, seminar berkenaan akan disampaikan oleh Pengurus MH Group, Shahrin Rosli yang mempunyai kira-kira 30 rangkaian pasar raya di seluruh Fiji.
Sementara itu, usahawan Bumiputera yang berminat untuk menyertai seminar ini boleh menghubungi MCCF di talian 03-61786093 atau ke pejabat di Prima Sri Gombak, Batu Caves. – UTUSAN ONLINE










