Seminar ‘Kehebatan Legasi Johor di Mata Dunia’ bermula - Utusan Malaysia

Seminar ‘Kehebatan Legasi Johor di Mata Dunia’ bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 14 Nov. – Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) dan Persatuan Sejarah Lisan Malaysia (PLSM) buat kali keempat menganjurkan Seminar ‘Kehebatan Legasi Johor di Mata Dunia’ selama dua hari bertempat di Hotel KSL di sini bermula semalam.

Pengarah PPAJ, Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman berkata, seminar kali ini melibatkan pe­nyer­taan seramai 11 pencera­mah dari dalam dan luar negara antaranya Prof. Dr. Sohaimi Zakaria daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Zahidi Zainol Rashid daripada Persatuan Sejarah Malaysia.

Ini termasuk Prof. Suwardi M.S. dan Asyrul Fikri dari Universitas Riau, Indonesia serta Dr. Syed Khairuddin Al-Juned dari National University of Singapore, Singapura.

“Sepanjang dua hari seminar ini berlangsung, kesemua pencera­mah jemputan terma­suklah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan akan membentangkan ucaptama mengenai sejarah dan warisan negeri Johor.

“Antara tajuk yang dibahagikan dalam lima siri pembentangan adalah Johor Sebagai Pusat Intelektual di Alam Melayu; Undang-Undang Tubuh Johor; Manuskrip Johor-Riau Mengenai Johor serta Johor Dalam Sejarah Singapura,” katanya dalam seminar berkenaan di sini semalam.

Ungku Noorakmal berkata, seminar yang disertai kira-kira 100 orang itu antara lain bertujuan memberi pemahaman mengenai sejarah Johor; mendokumentasi sejarah negeri untuk rujukan generasi akan datang serta menyokong pembangunan sejarah dan budaya di negeri ini.

Katanya, juga bertujuan memelihara warisan budaya yang terdapat di Johor serta menyema­rak dan menanam semangat jati diri, toleransi serta kesepaduan bangsa Johor.

“Apa yang lebih bermakna dalam seminar ini, kami dapat bertukar bahan ilmiah dalam kalangan pensyarah jemputan terutama dari luar negara di mana ia agak sukar dilakukan tanpa adanya seminar seperti ini.

“Bahan-bahan ilmiah ini akan disimpin di PPAJ untuk simpanan, rujukan dan dokumentasi pelbagai maklumat mengenai sejarah dan warisan negeri Johor,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN