KUALA NERUS 11 Nov. – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah hari ini menyarankan agar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan program kelestarian pengurusan sumber protein marin.
Baginda bertitah, langkah itu penting bagi merealisasikan segala usaha penyelidikan dalam membantu komuniti merubah kehidupan di samping konservasi sumber makanan yang turut melibatkan peranan dan penyertaan kalangan nelayan.
Malah titah baginda, usaha itu juga perlu dipergiatkan bagi meningkatkan penyelidikan serta kesedaran marin kepada golongan itu dengan harapan masalah kepupusan sumber marin tidak berlaku.
“Ini juga akan melonjakkan pencapaian universiti ini ke arah merealisasi visi sebagai universiti berfokuskan marin terunggul di dunia,”titah baginda dalam teks perasmian Konvokesyen UMT Ke-16 yang dibaca oleh Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman di Dewan Sultan Mizan UMT, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.
Baginda turut berharap universiti itu bergerak seiring dengan penyelidik antarabangsa bagi memperkasakan lagi imej serta reputasi universiti dalam konservasi hidupan laut yang terancam sekali gus menjadikan UMT sebagai hab rujukan ilmu konservasi dan biologi penyu di rantau ini.
Konvokesyen UMT kali ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan seramai 2,970 graduan diraikan dan mereka terdiri daripada 195 graduan pasca siswazah selain 2,647 graduan pra siswazah dan 128 graduan peringkat diploma.
Dalam majlis itu, graduan program Sarjana Muda Sains (Sains Biologi) Pusat Pengajian Sains Asas, Mohammad Asyraf Adhwa Masimen dan Foo Tzen Yoong, graduan Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi menerima Anugerah Pelajaran Diraja.
Mohd Tarmizi Mohd Lutfi, graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Komputasi) pula menerima Anugerah Emas Canselor manakala Mohd Azlan Musa, Doktor Falsafah Teknologi Maritim menerima anugerah Pro-Canselor sementara Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti diraih oleh Mohd Badrul Mohd Khairul Sahimi (Sarjana Sains Akuakultur).
Anugerah Naib Canselor (terbaik pusat pengajian) diterima oleh Nurul Ilyani Uberaina (Sarjana Muda Pengurusan Maritim); Wan Nurizzati Wan Idris (Sarjana Muda Sains Agroteknologi -Akuakultur); Chow Yee Voon (Sarjana Muda Sains -Matematik Kewangan) dan Muhammad Faris Md Yusoff (Sarjana Muda Sains Agroteknologi- Sains Tanaman).
Juga Nur Farahanim Abdullah (Sarjana Muda Kaunseling); Cheong Jia Lei (Sarjana Muda Sains Gunaan -Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti); Muhamad Shafiq Mohd Rizani (Sarjana Muda Sains -Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim) dan Ambose Louise (Sarjana Muda Sains -Sains Biologi). – UTUSAN ONLINE










