KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan akan menyediakan geran RM100 juta kepada syarikat swasta bagi program mempromosi pelancongan di peringkat antarabangsa dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga memberikan kemudahan bebas cukai kepada kedai bebas cukai di Pelabuhan Swettenham di Pulau Pinang, komited menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas dan taraf Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai akan diperkembangkan.
Selain itu, katanya, Khazanah Nasional Berhad juga bakal menerajui projek kerjasama awam swasta bagi program pemulihan Bangunan Sultan Abdul Samad untuk menjadikannya ikon kesenian, kebudayaan dan warisan.
“Pelancongan kesihatan di Malaysia mendapat pengiktirafan luar, untuk itu, kerajaan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysia Healthcare Tourism Council (MHTC) untuk menjalinkan usahasama dengan hospital swasta bagi menjenamakan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan terpilih.
“Usaha ini akan meningkatkan kadar pertumbuhan sebanyak 25 peratus untuk tahun 2019,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










