MENERUSI Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM100juta untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan sebahagiannya perlu diagih kepada persatuan-persatuan sukan kebangsaan bagi tujuan pelaksanaan program latihan serta pembangunan.
Mat melihat, peruntukan yang disediakan menerusi belanjawan kali ini sangat kecil jika dibandingkan sebelum-sebelum ini.
Ia mengambil kira beberapa perkara termasuk program latihan persediaan ke Sukan SEA 2019 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan kebanyakan acara akan mula menjalani sesi kelayakan bermula tahun hadapan.

Peruntukan yang disediakan itu menjadi perdebatan hangat dengan MOM mahukan penjelasan daripada MSN mengenai sistem agihan yang akan digunakan sedangkan perlu MSN meneliti rangka program terlebih dahulu sebelum dana diberikan.
Mat melihat situasi ini hanya akan memberi kesan buruk kepada atlet kerana mereka adalah individu yang akan berjuang membawa nama negara di pentas sukan utama dan tanpa perancangan khusus, masa depan mereka akan menjadi tidak menentu terutama menjelang temasya besar.
Secara peribadinya, Mat merasakan apa yang disuarakan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail itu ada kebenarannya kerana hanya menerusi perancangan program khusus, dana yang sewajarnya akan diberikan bagi membolehkan setiap program dilaksanakan.
Bagaimanapun, ada desas-desus mengatakan, masih ada pihak persatuan yang tidak memiliki sebarang rangka program latihan untuk tahun hadapan sedangkan 2018 sudah sampai ke penghujungnya.
Ini juga perlu diberikan perhatian serius kerana 2019 adalah tahun penting buat Malaysia kerana sesi kelayakan Olimpik akan bermula tahun hadapan.
Macam mana kita mahu menyertai sesi kelayakan Sukan Olimpik, jika perancangan program pun masih belum ada?
Persatuan mahu tahu jumlah peruntukan tetapi perancangan teliti tiada. Susahlah MSN nak agihkan dana.
Mat rasa lebih baik persatuan siapkan rangka program dahulu, lepas itu boleh cerita pasal dana. Bukan apa, bimbang kalau dana diberikan, programnya tidak ada.
Lebih baik siapkan rangka program dan kemudian sesuaikan dengan dana.
Akhir kata, Mat berdoa, semuanya berjalan baik buat sukan negara pada 2019.










