LONDON 4 Nov. – Pengurus Liverpool, Jurgen dalam nada bergurau berkata, dia terlalu kagum dengan permainan menyerang Arsenal sehingga satu ketika menjangkakan mereka akan memasukkan Robin van Persie dan Dennis Bergkamp.
Arsenal mengikat Liverpool 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang mendebarkan di Stadium Emirates, hari ini.
Liverpool hampir pulang bersama kemenangan selepas James Milner meletakkan mereka di depan pada minit ke-62, selain beroleh banyak peluang menerusi Sadio Mane serta Virgil van Dijk.
Begitupun, ketika permainan berbaki lapan minit untuk ditamatkan, Alexandre Lacazette meledak gol penyamaan, sekali gus membolehkan Gunners mengekalkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah.
Dalam aksi itu, Unai Emery memasukkan Danny Welbeck, Aaron Ramsey dan Alex Iwobi untuk membantu serangan yang diketuai Mesut Ozil serta Lacazette selepas Henrikh Mkhitaryan, Pierre-Emerick Aubameyang dan Saed Kolasinac dikeluarkan.
“Arsenal membawa masuk begitu ramai penyerang, sehingga saya tertanya, apakah Van Persie dan Bergkamp akan dibawa masuk juga,” kata Klopp sambil berseloroh.
Bergkamp pernah membantu Arsenal menjulang tiga gelaran Liga Perdana dan empat Piala FA sepanjang menyarung jersi pasukan itu dari 1995 hingga 2006.
Van Persie pula beraksi buat Arsenal dari 2004 hingga 2012 sebelum menyertai Manchester United.
Kata Klopp lagi, perlawanan berlangsung tegang dan Arsenal jelas berada dalam keadaan terbaik ketiga ini.
“Ia tegang..sangat tegang. Arsenal memang pasukan yang sangat bagus.
“Kami memudahkan lagi keadaan pada separuh masa pertama. Dari segi formasi, saya tidak gembira dengan cara kami bermain,” kata Klopp lagi.
Bagaimanapun keputusan seri buat kali ketiga musim ini membolehkan Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan Liga Perdana, musim ini. – AGENSI











