KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarang akhbar rasmi milik DAP, The Rocket, Wan Hamidi Hamid tidak akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama yang baharu.
Perkembangan terbaharu itu didedahkan oleh Wan Hamidi sendiri menerusi catatan di laman Facebook beliau hari ini.
Dalam catatan berkenaan, beliau mendakwa telah ditawarkan, dipujuk serta diyakinkan untuk menerima jawatan berkenaan pada mulanya sebelum menjadi sasaran kritikan dan pembohongan.
“Setelah menjadi sasaran pembohongan, kritikan yang tidak adil dan serangan peribadi untuk beberapa waktu, saya telah dimaklumkan bahawa saya tidak akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama.
“Maafkan saya tetapi saya tidak akan menjawab apa-apa pertanyaan, oleh itu jangan buang masa untuk menghantar mesej atau menghubungi saya mengenai perkara ini. Sekarang bukan masanya, maaf,” katanya.
Menurut Wan Hamidi, pertanyaan berhubung perkara tersebut sepatutnya ditujukan kepada Lembaga Pengarah Bernama, Menteri atau ‘sekumpulan orang atau media dan portal berita yang membenci DAP’.
“Mungkin mereka lebih tahu,” katanya.
Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim adalah antara beberapa individu sebelum ini dilaporkan kurang bersetuju dengan pelantikan Wan Hamidi.
“Kita dahulu tidak mengambil mana-mana individu yang kuat berpolitik untuk berada di Bernama dan kita harus menghindarkan trend ini.
“Ini kerana warnanya akan dipolitikkan, nadinya akan dipolitikkan, pemikirannya juga akan dipolitikkan maka saya katakan ini bukan pilihan yang baik dan harus difikirkan semula,” katanya pada satu majlis pelancaran buku September lalu. – K! ONLINE










