KUCHING – Sarawak akan meneruskan belanjawan yang tertumpu kepada pembangunan imbal dan luar bandar bagi merancakkan perkembangan ekonomi daripada jumlah peruntukan belanjawan RM11.914 bilion bagi 2019 yang terbesar dalam sejarah negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, daripada keseluruhan peruntukan belanjawan berjumlah RM9.073 bilion ia termasuk dana Persekutuan berjumlah RM0.260 bilion dicadangkan bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2.841 juta untuk perbelanjaan operasi.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi berkata, dengan mengambil kira anggaran hasil berjumlah RM10,513 juta dan jumlah cadangan perbelanjaan biasa RM10.391 bilion, peruntukan belanjawan 2019 dijangka mengalami lebihan RM122 juta.
“Negeri ini akan meneruskan dasar perluasan fiskal dengan enam strategi utama dan melihat kepada aliran hasil utama yang baru, termasuk lima peratus cukai jualan produk petroleum mulai 1 Januari,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2019) pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata, perbelanjaan pembangunan tahun hadapan dijangka mengambil kira projek mempunyai kesan yang tinggi dan kepentingan rakyat terutama di kawasan luar bandar, komitmen untuk menyiapkan projek yang sedang berjalan dan keutamaan kepada perbelanjaan yang dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi rasionalkan kedudukan fiskalnya. – Bernama











