RANTAU PANJANG 8 Nov. – Bagi memastikan anaknya yang merupakan calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 tidak ketinggalan dalam pelajaran, seorang bapa dari Kampung Bongo di sini sanggup berulang alik sejauh 10 kilometer (km) dengan bot untuk menghantar anaknya ke sekolah.
Mohd. Nor Isa, 55, berkata, walaupun berdepan sedikit kesukaran berikutan cuaca yang tidak menentu ditambah pula kawasan rumahnya sudah dilanda banjir, namun semua itu tidak mematahkan semangatnya.
Menurutnya, bot menjadi kenderaan utama penduduk ketika ini selepas laluan utama di kampung tersebut ditenggelami air sejak dua hari lalu ekoran limpahan air Sungai Golok.
Mohd. Nor berkata, anaknya, Umi sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas.
“Saya tidak mahu dia ketinggalan dalam pelajaran. Lagipun Umi akan menduduki STPM tidak lama lagi.
“Semua itu perlu diberikan perhatian khusus kerana ini melibatkan soal masa depannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Nor memberitahu, dia akan terus berusaha menghantar anaknya ke sekolah selagi termampu.
Katanya, dia amat menitikberatkan soal pelajaran anak-anak bagi memastikan mereka mencapai kejayaan pada masa depan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati selain Bongor, Kampung Lachang, Jejawi, Tasik Bakong dan beberapa kawasan berhampiran Sungai Golok sudah mula dinaiki air sedalam 0.7 meter.










