MANCHESTER – Pemain sayap Manchester City, Leroy Sane menolak khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan Manchester United selepas dia dilaporkan kecewa kerana tidak mendapat tempat dalam skuad utama The Citizens musim ini.
Menurut pemain berusia 22 tahun itu, laporan yang dibuat oleh media Jerman itu sama sekali tidak akan berlaku memandangkan City adalah pasukan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana England musim ini.

“Perpindahan saya ke United tidak akan berlaku sama sekali. Saya gembira berada di City kerana pasukan ini berada pada landasan tepat untuk menjadi kuasa besar di Eropah.
“Saya tidak risau tentang tempat saya dalam skuad utama City. Saya tahu apa yang mereka mahukan dan saya akan berusaha keras untuk mencapai standard yang diharapkan oleh City,” katanya.
Sebagai rekod, pemain antarabangsa Jerman itu hanya diturunkan dalam tujuh aksi setakat ini.
Pada saingan menentang Southampton baru-baru ini, skuad bimbingan Pep Guardiola itu berjaya meraih kemenangan bergaya 6-1 yang mana dua gol daripada aksi tersebut disumbangkan oleh Sane.
“Saya sangat menikmati perjalanan bola sepak saya di Etihad. Bukan mudah untuk mendapat peluang beraksi di bawah Guardiola serta pasukan terbaik dunia,” tambah Sane. – Agensi










