MARAH benar dari nada Rosland Mohd. Ariff yang mengetuai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) membantu menyelesaikan isu-isu permasalahan hutang perbankan dan syarikat kewangan.
Sejak sekian lama Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu menjalankan kerja-kerja berkenaan, tiba-tiba usahanya kali ini dihalang.
Kata Presiden 4PM itu kepada Utusan Malaysia semalam, kisahnya begini:
Beberapa hari lalu 4PM cuba membantu seorang wanita yang berdepan masalah kereta miliknya yang ditarik oleh sebuah syarikat kewangan.
Syarikat kewangan terbabit dipercayai telah melanggar Akta Sewa Beli Kenderaan 1967 kerana tidak ada sebarang notis dikeluarkan sebelum kereta ditarik.
Penganiayaan dan salah laku berlaku apabila tidak ada surat Jadual Keempat/Fourth Schedule yang diberikan sebagai syarat wajib dan utama di bawah akta sebelum penarikan berlaku.
Juga, tidak ada sebarang reminder atau pemberitahuan tentang penarikan melalui surat dan e-mel daripada pihak syarikat kewangan.
Pada masa sama, tidak ada pula surat Jadual Kelima/Fifth Schedule yang dikeluarkan selepas berlaku penarikan kereta – walaupun telah hampir lapan kali mangsa menghubungi syarikat kewangan itu untuk mendapat surat Jadual Kelima tetapi gagal.
“Bertitik-tolak dari itu, 4PM diketuai saya sendiri cuba berjumpa dengan pihak syarikat kewangan terbabit di pejabat mereka, tetapi kami dimaklumkan oleh seorang pegawainya yang menyerahkan surat minta merujuk terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk sebarang aduan. Ini amat pelik kerana arahan itu dikeluarkan oleh seseorang dari unit sewa beli bahagian penguat kuasa kementerian berkenaan.
“Apa sebenarnya peranan yang dimainkan oleh KPDNHEP? Adakah untuk membantu peminjam dan pengguna yang telah dianiaya? Atau sekadar untuk menjaga kepentingan institusi perbankan dan syarikat kewangan terbabit yang memandang remeh peruntukan di bawah Akta Sewa Beli Kenderaan 1967 serta menidakkan penglibatan NGO yang cuba membantu peminjam yang teraniaya?,” dakwa Rosland lagi.
Sambil menunjukkan perlembagaan 4PM, Rosland menjelaskan, pihaknya diperakui oleh ROS untuk bekerjasama dengan institusi perbankan dan syarikat kewangan dalam mengenal pasti masalah peminjam serta menjadi orang tengah menyelesaikannya.
“Sebenarnya 4PM sudah banyak kali berjaya menyelesaikan masalah peminjam dengan syarikat kewangan terbabit. Dan mereka saya khuatiri tidak pasal-pasal pula `melibatkan’ kementerian,” katanya lagi.
Dalam pada itu, mengenai tindakan penyitaan pula, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz dan Datuk Shaharudin Ali dari firma guaman Tetuan Azam Aziz Shaharudin Ali & Co., pernah menjelaskan kepada akhbar ini berhubung proses penyitaan dan perisytiharan muflis mengikut prosedur mahkamah.
Pertama sekali, institusi kewangan perlu dapatkan penghakiman mahkamah. Contohnya ada hutang RM25,000 yang tidak dibayar, maka mahkamah akan keluar perintah untuk bayar jumlah itu. Peguam akan sampaikan penghakiman ini kepada penghutang yang diberikan tempoh 14 hari untuk membayarnya.
Jika gagal, pihak penuntut perlu pergi semula ke mahkamah untuk tindakan kedua iaitu dapatkan writ penyitaan dan penjualan. Ini satu penghakiman atau perintah baharu dari mahkamah yang membenarkan bailif mahkamah, bukannya peguam atau pihak lain, laksanakan proses penyitaan.
Bailif perlu hadir ke premis orang berhutang mengikut notis rasmi memaklumkan satu tarikh khusus untuk memulakan proses menyita. Peguam hanya boleh mengiringi bailif dan proses ini bukannya dengan pecah masuk rumah penghutang. Bailif akan membuat penilaian barang yang boleh disita.
Hanya barang di ruang tamu dan dapur boleh disita, kecuali peti ais, malah bilik tidur juga tidak boleh masuk langsung. Barang yang disita akan dilelong pada tarikh berbeza.
Mana-mana pihak sekalipun tidak boleh tampal notis atau pita kuning penyitaan dan lelong pada pagar rumah orang lain mahupun tiba-tiba menghantar lori untuk merampas harta benda penghutang, semuanya dilakukan bailif mengikut prosedur mahkamah menggunakan dokumen rasmi.
Orang ramai dinasihatkan berhati-hati jika ada panggilan telefon dari agensi pengutip hutang ini kerana mahkamah, polis, Pejabat Peguam Negara mahupun Bank Negara tidak pernah dan tidak akan menghubungi anda melalui telefon. Sebarang urusan rasmi mesti melalui dokumen dan surat rasmi.











