Sakit dan sedihnya membawa ke mati ... - Utusan Malaysia

Sakit dan sedihnya membawa ke mati …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pernah mendengar rintihan seorang kawan. Kawan yang begitu akrab satu ketika dahulu. Katanya dengan nada yang seakan sudah putus asa- “Hari ini hari dia, esok hari dia, lusa pun hari dia. Bulan depan pun hari dia. Hari aku bila pula? Entah-entah memang tiada hari untuk aku.”

Kata-kata itu amat menyentuh hati saya. Sebab itu, saya boleh ingat sampai sekarang. Walaupun saya sentiasa cuba menenteramkan dirinya tetapi dia sungguh kecewa. Terus bercakap meluahkan segala rasa sedihnya.

Mengingatkan ini semula, hati saya cukup sebak. Suara dan rintihannya sudah saya tidak dapat dengari lagi. Dia ­telah kembali ke negara abadi, kira-kira tiga tahun lalu. Me­ngapa dia berkata begitu?

Saya ceritakan sedikit di sini. Dia seorang yang berbadan besar. Merasakan dirinya terlalu gemuk. Oleh itu, dia jadi amat rendah diri. Katanya, dia tidak cantik. Buruk. Bermacam-macam cara dilakukan untuk kurus dan cantik antaranya tidak makan sehingga badan menjadi lemah.

Dan dia juga menghabiskan banyak wang gajinya, untuk membeli produk kecantikan. Dengan harapan wajahnya akan jadi macam orang lain. Tetapi semuanya itu dilakukan bukan untuk kepuasan diri sendiri. Tetapi lebih kepada untuk memuaskan ha­ti orang lain. Sebabnya, dia selalu diketawakan dan di­persendakan.

Pernah dia mengadu, rakan-rakan sekerjanya me­mang­gilnya tong bergerak. Kalau hendak duduk, mereka akan cakap duduk baik-baik nanti patah kerusi itu, siapa nak ganti? Ada juga orang lelaki yang membuat lawak – ‘Kau ni kalau jalan seorang tengah-tengah malam, orang tengok muka kau pun lari, ingatkan hantu.

Pada masa sama, dia sering dipermainkan. Orang lelaki hanya mendekatinya kerana wang. Menabur janji manis dan meminjam wang daripadanya dan hilang terus. Bukan mahu memiliki hatinya. Lelaki durjana dan tak reti malu begini, pergi main jauh-jauhlah.

Kawan saya itu, walaupun gemuk dan merasakan dirinya tidak cantik. Tetapi bagi saya hatinya sungguh cantik dan mulia. Tidak pernah sekali pun saya dengar dia mengata orang, apatah lagi menghina makhluk ciptaan Tuhan. Tetapi itulah, orang yang baik-baik, sering dijemput Tuhan lebih awal. Yang hidup panjang pula, mungkin diberi peluang untuk bertaubat.

Mengapa saya ceritakan ini? Saya teringatkan arwah kawan saya apabila menonton rancangan Gegar Vaganza, Ahad lalu. Saya bukan peminat rancangan itu. Sudah berapa siri saya tinggal. Saya cuma mahu lihat Zamani menyanyi. Itu saja.

Apabila penaja utama rancangan itu, mencari penonton di situ yang dikatanya buruk untuk memakaikan bedak muka keluaran syarikatnya, dia memilih seorang wanita. Wanita itu bagi saya cukup cantik. Tetapi pengusaha lelaki yang sudah cukup kaya itu mengatakan wajahnya seperti bomoh dan terus menyapu ke muka perempuan itu. Mana adab? Sudah­lah menghina dia yang boleh disaksikan satu Malaysia, terus sahaja tepek bedak itu tanpa minta izin. Menyapu muka wanita yang bukan muhrim pula. Tentu dia tidak selesa. Dan penonton pula boleh ketawa. Apa sangat yang lucunya?

Ya, saya teringatkan arwah kawan saya. Begitulah agaknya dia diketawakan. Entahlah, mengata orang gemuk, kurus melidi, muka pecah rumah atau apa sahaja yang menghina, bagi saya itu bukan lawak. Itu lawak yang paling bodoh di muka bumi ini dan di planet-planet lain. Dan kita yang bukan sempurna ini tidak sepatutnya sesekali mentertawakan ciptaan Tuhan.

Anda tahu rasanya orang yang rendah diri dan sering dipermainkan? Sakit dan sedihnya membawa ke mati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN