SEBUT sahaja hidangan Nasi Padang, sudah pasti terbayang di fikiran, meja yang bersusun dengan piring-piring kecil mengandungi pelbagai jenis lauk.
Berasal dari negara seberang atau lebih tepat wilayah Padang di Sumatera, Indonesia, hidangan ini menampilkan variasi lauk-pauk bersama nasi putih.
Bagi membawa pelanggan merasai hidangan ini tanpa perlu ‘terbang’ ke tempat asalnya, Melting Pot Cafe di Hotel Concorde Kuala Lumpur, telah menampilkan menu makan malam berasaskan selera Padang.
Mengambil sepenuhnya resipi asli dan teknik asal masakan itu, barisan cef kafe ini yang diketuai Eksekutif Sous Cef, Dzulkarnain@ Jol Salleh menjanjikan keistimewaan dalam setiap juadah yang disediakan melalui pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang ini.
Menu utama yang paling mencuri selera pelanggan ialah lotek, iaitu hidangan mi kuning bersama kuah kacang dengan rasa sedikit pedas dan manis yang turut dihiasi sayur kangkung, tauge, tempe goreng dan juga tauhu.
Bukan itu sahaja, sajian ayam pop turut membawa pelanggan merasai tekstur ayam kampung goreng yang cukup lembut dengan aroma rempah ratus.
Hidangan yang cukup istimewa ini disediakan melalui proses rebusan ayam bersama air kelapa muda yang diperap semalaman bersama rempah ratus.
Para peminat cita rasa pedas, sambal hijau dan sambal merah perlu ada dalam pinggan. Tidak ketinggalan hidangan dendeng turut menanti pelanggan dengan hirisan daging yang direbus dan dilenyek.
‘‘Kelainan dalam menyajikan masakan ini berbanding makanan Melayu adalah terletak pada cara penyediaannya. Bahan-bahan hidangan Padang perlu digoreng terlebih dahulu sebelum dikisar, namun, masakan Melayu hanya terus mengisar bahan-bahan yang diperlukan mereka,’’ ulas Cef Dzulkarnain.
Tambahnya, gulai sayur kapau juga antara menu yang perlu dicuba oleh mereka yang tidak pernah merasai hidangan Nasi Padang.
Ia merupakan hidangan sayur kubis bersama kacang panjang, daun salam dan dibangkitkan dengan aroma daun limau purut.
Selera Padang tidak akan lengkap tanpa diserikan dengan hidangan pemanis mulut iaitu kolak pisang dan badak berendam.
Turut dihidangkan sebagai pembuka selera adalah sambal lado buncis, anyang kacang panjang dan anyang pucuk paku.
Hidangan lain ialah rendang ayam, sotong berlado, sambal udang petai dan juga teruang berlado.










