Sabrina dalam diri Kiernan Shipka - Utusan Malaysia

Sabrina dalam diri Kiernan Shipka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dia baru berusia 18 tahun. Diberi tanggungjawab memegang peranan Sabrina Spellman dalam drama bersiri original terbitan Netflix berjudul The Chilling Adventures of Sabrina, peluang tersebut menjadi titik tolak buat aktres muda jelita, Kiernan Shipka untuk terus melangkah jauh sebagai pelakon berkaliber.

Drama bersiri berkenaan adalah karya bikin semula atau reimagined daripada sitkom popular awal lewat era 1990-an sehingga tahun 2000 berjudul Sabrina the Teenage Witch. Shipka atau nama sebenarnya Kiernan Brennan Shipka bagaimanapun mendedahkan, dia tidak begitu mengikuti sitkom berkenaan sewaktu kecil.

Katanya kepada majalah Elle versi Amerika Syarikat keluaran Oktober, dia tidak mempunyai banyak pengalaman membesar dengan original siri berkenaan walaupun mengetahui tentang kewujudan fenomena tersebut suatu ketika dahulu.

“Memang saya tahu tentang kucing, ibu-ibu saudara (Sabrina) dan kesimpulan umum tentang siri yang asal. Bagaimanapun, ketika datang untuk uji bakat drama ini, saya baca skrip The Chilling Adventures of Sabrina, ia sama dengan komik siri yang terdahulu.

“Saya benar-benar hanyut dalam dunia skrip yang dibaca. Ia sangat gelap! Ia terus membuatkan saya seperti, wow! Saya tidak menjangkakan hal ini. Skripnya ditulis dengan sangat cantik dan saya terus tertarik,” tutur Shipka yang sebelum ini amat dikenali menerusi siri televisyen berjudul Mad Men menjayakan watak Sally Draper.

The Chilling Adventures of Sabrina merupakan projek drama daripada penerbit sama yang bertanggungjawab menerbitkan drama original popular iaitu Riverdale. Ditanya sama ada Shipka mengikuti drama terbabit sebelum ini dan persamaan yang terdapat dalam dua drama berkenaan, dia menjawab: “Saya teramat obses dengan Riverdale jadi saya terpaksa berlagak tenang ketika bertemu dengan penulisnya, Roberto Aguirre-Sacasa.”

“Semestinya terdapat persamaan dari segi kualiti kedua-dua drama tersebut termasuk sinematografi indah dan rujukan yang menyeronokkan. Bagaimanapun, dua drama itu tentunya berbeza, tetapi memandangkan Roberto ialah orang di belakangnya, semestinya wujud aura, unsur suspen dan kualiti umum yang menarik peminat terhadap kedua-duanya.”

Buktinya, Riverdale digambarkan sebagai berjiran dengan kawasan perkampungan yang didiami Sabrina iaitu Greendale. Terus melanjutkan bicara, Shipka menyelam lebih dalam tentang karakter Sabrina yang amat teguh pendirian.

“Sebuah tema yang saya rasa semua orang berasa dekat adalah konsep individualistik iaitu mengutamakan diri daripada segala perkara yang anda ingin percaya.

“Sabrina berada pada usia dia mula untuk mempersoalkan banyak perkara. Dia mula membuat keputusan untuk dirinya. Dia terpaksa memilih antara kelompok dunia sihirnya iaitu Church of Night dan pada masa yang sama ingin menjalani kehidupan normal sebagai manusia biasa. Terdedah dengan banyak perkara, itu yang membuatkan sifat ingin tahunya semakin menebal,” katanya.

Patriarki, persahabatan

Mengulas tentang wataknya yang menentang budaya patriarki (dominasi kaum lelaki), gadis kelahiran Chicago, Illinois, Amerika Syarikat itu berbangga dengan watak pelakon-pelakon wanita yang terlibat dalam drama berkenaan.

“Drama ini dipenuhi wanita hebat dan berkuasa. Mereka menggunakan kuasa atau sihir untuk menjadi hebat walaupun masih mempunyai banyak kesalahan. Melakonkan watak Sabrina yang masih mencari dirinya yang sebenar, saya teragak-agak untuk melabelnya sebagai ikon. 
“Hal ini kerana, dia berusia 16 tahun tetapi saya teruja kerana remaja-remaja berusia mungkin 13 tahun akan menonton drama itu dan menjadikannya karakter untuk pesta Halloween.

“Sabrina seorang yang kuat, bijak, berpelajaran dan saya amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada projek drama ini yang mempunyai tujuan baik untuk disampaikan kepada orang ramai, terutama muda-mudi,” jawabnya.

Sabrina merupakan seorang gadis yang amat mengambil berat tentang keberadaan rakan baiknya. Itu ditonjolkan bersama watak Susie (Lachlan Watson) yang menjadi mangsa buli di sekolah menengah, Baxter High.

Ujar Shipka, menjadi seorang rakan yang sentiasa mempertahankan rakan-rakan adalah aspek penting dalam hidup.

“Persahabatan antara Sabrina, Rosalind, Susie dan Harvey sangat indah dan ditulis dengan begitu cermat. Sabrina seorang yang akan memperjuangkan kebenaran dan sanggup bergadai nyawa demi rakan-rakan biarpun terpaksa berdepan situasi sukar.

“Rakan-rakannya pula sentiasa berada di belakangnya iaitu satu aspek yang penting dalam kehidupan sebenar. Persahabatan adalah elemen yang penting dalam drama ini dan itu tidak akan berubah,” terangnya.

Alergi

Satu perkara tentang tugasan menjayakan watak Sabrina, Shipka mendedahkan dia berdepan masalah untuk berlakon dengan salah satu ‘pelakon’ iaitu watak kucing hitam bernama Salem.

Katanya, antara banyak pelakon yang terlibat dalam drama berkenaan, Salem paling merumitkan keadaan kerana dia tidak mengetahui bahawa sebenarnya dia mempunyai masalah alergi terhadap bulu kucing.

“Anda tahu atau tidak, ‘pelakon’ yang paling susah untuk saya bekerjasama adalah Salem. Sejujurnya, saya tidak tahu sebenarnya saya mempunyai alergi terhadap bulu kucing.

“Apabila melakonkan babak bersama Salem pada awalnya, saya okey sahaja mencium dan menggomolnya namun kebahagiaannya itu tidak berkekalan apabila keesokan harinya, muka saya dipenuhi ruam dan kegatalan,” dedahnya.

Kongsinya lagi, dia bernasib baik dan berterima kasih kepada teknologi perubatan sekarang yang meredakan alerginya, sekali gus dapat menjayakan watak Sabrina dengan ‘aman’.

“Mujur ada krim Zyrtec (tertawa). Boleh dikatakan sepanjang menjayakan musim pertama drama ini, saya ditaja dengan krim anti-histamine (mengelakkan alergi) dan ia sangat membantu,” dedahkan ketika diwawancara dalam program bual bicara Late Night with Seth Meyers.

Shipka turut mendedahkan, dia pernah ‘terpengaruh’ dengan kuasa sihir atau penilik nasib. Katanya, ada suatu ketika dia berjumpa dengan penilik nasib untuk mengetahui tentang potensi masa depannya.

“Ada berjumpa dengan tukang tilik nasib dan dia memberi ramalan bahawa sesuatu yang besar akan berlaku dalam hidup saya. Secara kebetulan, tawaran watak utama Sabrina dan ia akan dibikin untuk Netflix!,” kongsinya riang.

Dalam satu temu bual berasingan iaitu bersama Build Series, Shipka, Sabrina bakal bersambung ke musim seterusnya dan dia bersama pelakon lain sedang menjalani penggambaran musim kedua.

“Kami sedang menjalani penggambaran musim kedua. Penonton boleh menjangka kisah Sabrina akan lebih berkembang dan banyak perkara-perkara luar biasa yang membuatkan penonton terus terpaku menontonnya.

“Mungkin akan ada raksasa yang lebih ganas atau tidak pun makhluk yang menyerupai Goblin. Saya boleh jamin, musim selanjutnya akan terus membuatkan ramai semakin teruja dan terpesona,” terang Shipka menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN