KOTA KINABALU – Sabah mencatatkan belanjawan lebihan bagi tahun 2019 yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam Pembentangan Bajet 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Shafie berkata, pada tahun depan, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil kerajaan sebanyak RM4.27 billion manakala perbelanjaan bagi tahun yang sama pula melibatkan peruntukan sebanyak RM4.16 billion.
Menurut Mohd. Shafie, perbelanjaan itu sekali gus mencatatkan lebihan tertinggi sejak lima tahun lalu pada kadar RM105.32 juta.
“Anggaran kutipan hasil pada tahun 2019 akan disumbangkan melalui Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.
“Kerajaan negeri dijangka menerima sebanyak RM1,125.6 juta atau 26.4 peratus daripada Hasil Cukai, RM2,735.9 juta atau 64.1 peratus daripada Hasil Bukan Cukai, dan RM403.5 juta atau 9.5 peratus adalah Terimaan Bukan Hasil,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada pembentangan bajet dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama DUN di sini.
Tambah Mohd. Shafie, royalti petroleum kekal sebagai penyumbang tertinggi kutipan hasil kerajaan negeri dengan sasaran kutipan sebanyak RM1.6 billion atau 37.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan pada tahun depan.
Kedudukan itu diikuti hasil kutipan melalui cukai jualan kelapa sawit (CPO) yang mencecah RM2,400 per tan metrik dengan pengeluaran lebih daripada 5 juta tan metrik pada kadar RM900 juta pada tahun 2019.
Pembentangan Bajet Negeri 2019 merupakan bajet sulung kerajaan baharu diketuai Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas menumpaksan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Pembentangan bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ itu berlangsung kira-kira dua jam bermula pada pukul 3 petang hari ini. – K! ONLINE











