KUALA LUMPUR 28 Nov.- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memburu individu-individu yang terlibat dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu akan membantu siasatan yang dikendalikan Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor.
“Ini bagi mengesan mereka yang mencederakan dua penjawat awam serta rusuhan di pusat beli-belah One City.
“Operasi tersebut sedang dilancarkan. Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat atau rakaman video diminta tampil bagi membantu pihak polis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Pembuktian dan Pendakwaan Serta Buku Panduan Siasatan Jenayah Melibatkan Agen Kimia, Biologikal Radiologikal, Nuklear dan Letupan di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.
Dalam pada itu menurut Mohamad Fuzi, keadaan di sekitar kuil berkenaan semalam lebih terkawal walaupun terdapat usaha pihak tertentu cuba menimbulkan kekecohan.
“Lebih 50 hingga 100 individu yang cuba timbulkan kekecohan tetapi kita berjaya tangani keadaan tersebut,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE










