Rupa, bakat jalan seiring - Utusan Malaysia

Rupa, bakat jalan seiring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah memikul gelaran ikon. Setiap langkah, tutur bicara harus diatur baik supaya tidak lari dari landasan. Namun bergelar manusia, tiada siapa yang sempurna.

Mengangguk setuju dengan kenyataan itu, bahu pelakon dan pengacara popular, Scha Al Yahya digalas dengan perhatian dan mata peminat yang mengagumi. Tidak terkecuali haters yang menunggu saat untuk melancarkan serangan kecaman.

Mencatur langkah seni, Scha seboleh-bolehnya mengatur diri supaya tidak melakukan sesuatu di luar norma manusia. Sebagai ikon fesyen dan menjadi ikutan ramai, dia sedar tanggungjawabnya besar.

Sama sekali tidak menganggap diri sebagai manusia sempurna yang boleh lari daripada melakukan kesilapan, Scha perlu pandai mengawal keadaan dan tidak melatah sekiranya berdepan kontroversi.

“Mana ada manusia yang sempurna, tidak ada buat silap. Tapi sebagai seorang yang bergelar selebriti dan menjadi ikutan anak muda, saya seboleh-bolehnya mencuba untuk mengurangkan kontroversi.

“Bukan takut dikecam atau dicemuh oleh warganet tetapi saya mahu menunjukkan teladan positif kepada anak muda di luar sana. Setiap yang kita buat dan cakap, itu diperhatikan oleh mereka.

“Kita perlu jadi diri sendiri tetapi pada masa sama, perlu menimbang setiap kritikan sama ada positif atau negatif. Semuanya dimasukkan dalam satu adunan supaya hasilnya lebih baik,” kata isteri kepada pengacara, Awal Ashaari ini.

Melihat trend warganet yang seolah-olah suka mencari kesilapan artis, Scha sering mengingatkan diri supaya tidak terlalu tertekan hanya untuk memastikan dia kelihatan sempurna.

Baginya, seseorang itu tidak kira anak seni atau sesiapa pun perlu belajar daripada kegagalan yang berlaku.

Setiap kesilapan dijadikan pengalaman supaya diri tidak mengulangi perkara sama.

“Tanggungjawab digalas dengan rasional dan profesional. Saya tidak mahu terlalu mencuba untuk memuaskan hati semua orang. Nanti dilihat seperti dibuat-buat. Itu kepura-puraan.

“Ikhlas dalam melaksana amanah sebagai ikon kepada peminat. Tunjukkan kepada mereka, kita belajar daripada setiap yang berlaku. Itu adalah teladan yang baik,” kata ibu kepada Lara Alana ini.

Berbicara tentang tanggungjawab sebagai mentor dan pengacara program realiti, Dewi Remaja 2018/2019, Scha tidak mahu terma beauty with brain (cantik dan bijak) hanya tertakluk kepada mereka yang genius dalam pelajaran.

“Bagi saya, terma tersebut adalah subjektif. Bijak bukan sekadar pandai dalam pelajaran. Pandai menjaga diri sendiri, mengawal spekulasi dan pandai menguruskan tekanan dengan baik juga bijak.

“Sebagai anak seni, kita perlu mempersiap diri dengan kekuatan mental dan fizikal. Harapkan paras rupa sahaja tak boleh, nanti orang gelar ‘bimbo’ (cantik tapi kurang bijak).

“Nasihat saya kepada semua peserta jadi diri sendiri dan gilap bakat yang ada. Perlu bijak menyesuaikan diri dalam industri dan pandai mengatur langkah seni dengan baik,” katanya.

Akan lebih berhati-hati

Berbicara tentang kes tuntutan RM345,305 terhadap syarikat D’Haja Sdn. Bhd. yang didakwa melanggar perjanjian pengedaran kedua minyak wangi eksklusif, Scha tidak mahu mengulas lebih lanjut.

Bagaimanapun ketika ditanya, dia dan suami bersedia sekiranya pihak syarikat tersebut ingin menyelesaikan masalah antara mereka tanpa perlu melalui proses mahkamah.

“Saya hendak kongsi lebih pun tak boleh sebab sudah menjadi kes mahkamah. Yang saya boleh kongsi, saya dan Awal membuat tuntutan ganti rugi disebabkan mereka tidak mengikut terma kontrak antara kedua-dua belah pihak.

“Tindakan tersebut terpaksa diambil kerana perkara ini sudah berlanjutan selama dua tahun. Jadi, mahu tak mahu, kami terpaksa menyelesaikan masalah ini melalui undang-undang.

“Tapi kami terbuka sekiranya pihak syarikat tersebut mahu berjumpa dan menyelesaikan masalah ini di luar mahkamah. Kami pun sudah kenal lama dan mereka pun nama besar dalam dunia perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Scha juga akan lebih berhati-hati selepas ini sebelum bekerjasama dengan mana-mana pihak terutama melibatkan perniagaan. Tidak mahu pisang berbuah dua kali, Scha mengatur langkah berjaga-jaga.

“Kita kena tahu peranan masing-masing. Selepas ini, saya dan suami akan lebih berhati-hati. Setiap kontrak ada terma dan syaratnya. Kena patuh supaya tidak timbul kekeliruan,” katanya.

Bercakap soal kerjaya, selain menjadi pengacara dan mentor bagi rancangan realiti Dewi Remaja, Scha juga bakal terlibat dalam sebuah program realiti, namun tidak mahu berbicara lanjut kerana masih dalam perbincangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN