KUALA PILAH 6 Nov. – Sebuah rumah yang didiami empat sekeluarga mengalami kerosakan akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Kuala Tualang, dekat sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, tanah di lereng bukit berdekatan rumah terbabit runtuh dan menghempap bahagian dapur.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 malam dan berikutan itu sembilan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti dihantar ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati tebing bukit setinggi 15 meter yang terletak kurang satu meter di belakang rumah itu runtuh dan memasuki sebahagian dapur kediaman berkenaan.
“Kita anggarkan tanah yang runtuh terkena rumah itu setinggi tiga meter. Empat penghuni rumah itu selamat ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Norazam berkata, penghuni rumah itu diarahkan mengosongkan rumah berkenaan dengan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini jika runtuhan berlaku lagi.
Menurut beliau, penghuni dua rumah lain yang terletak bersebelahan rumah tersebut turut diminta mengosongkan kediaman masing-masing sehingga keadaan dipastikan selamat.
“Keseluruhan penghuni rumah terlibat seramai tujuh orang termasuk seorang warga emas perempuan dan seorang lelaki warga emas yang lumpuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE










