PUTRAJAYA – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di
Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11.40 pagi di sini hari ini.
Beliau hadir selepas menerima notis bagi memberi keterangan berhubung kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.
Rosmah dipercayai menaiki kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WLK 11 dan diiringi oleh sebuah kereta Proton Waja berwarna gelap dengan nombor pendaftaran XI ASEAN 360.
Difahamkan bekas pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor tidak hadir bagi tujuan yang sama walaupun notis telah diserahkan oleh SPRM.
Dalam pada itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga diberikan notis untuk hadir bagi memberi keteranga kes penjualan tanah yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sebelum ini, Ahli Parlimen Putrajaya itu mengesahkan telah memberikan keterangan sebanyak 12 kali kepada pihak SPRM berhubung skandal tersebut.
Difahamkan, kesemua mereka akan ditahan sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok. – K! ONLINE










