KUALA LUMPUR 12 Nov. – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bakal didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur Khamis ini atas pertuduhan beberapa kes penyelewengan dan salah guna kuasa semasa era pentadbiran kerajaan terdahulu.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosmah dan Rizal akan didakwa berkaitan kes penyelewengan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.
“Kedua-dua mereka akan menghadapi enam pertuduhan berjumlah RM6.5 juta berkaitan kes tersebut dan ini merupakan pendakwaan terbaharu terhadap Rosmah dan Rizal,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sementara itu, tambah sumber, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan akan didakwa di mahkamah sama berkaitan kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Baru-baru ini, media melaporkan sebanyak 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL seluas 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion disiasat oleh satu pasukan khas ditubuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan serta SPRM sejak 31 Julai lalu.
Pada bulan lalu, Tengku Adnan mengakui SPRM memanggilnya lebih 12 kali berhubung isu penjualan tanah tersebut. – UTUSAN ONLINE











