YANGON 9 Nov. – Bangladesh menolak tawaran Kanada yang berminat untuk menerima kemasukan pelarian Rohingya ke negaranya.
Lapor al-Jazeera, Kanada menawarkan untuk membawa sejumlah pelarian Rohingya selepas Menteri Luarnya, Chrystia Freeland melawat Bangladesh pada Mei lalu.
“Freeland berkata, Kanada bersedia membincangkan kes tersebut dengan Bangladesh yang dilaporkan merancang untuk meneruskan penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar.
“Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina akan pertimbangkan perkara itu,” kata seorang pegawai Kanada yang enggan dikenali sambil menambah perbincangan antara kedua-dua pihak masih berjalan.
Penyiasat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar sebelum ini mendesak Bangladesh supaya tidak melaksanakan penghantaran pulang beribu-ribu pelarian Rohingya ke negeri Rakhine pada bulan ini sambil memberikan amaran bahawa mereka berisiko tinggi untuk dikenakan hukuman.
Sementara itu, agensi bantuan kemanusian menyifatkan tindakan mula untuk menghantar pulang pelarian etnik Muslim Rohingya ke Myanmar dilihat sebagai langkah kurang matang selain pelarian berkenaan masih ‘takut’ untuk meninggalkan Bangladesh.
Ketika ini, lebih 720,000 etnik Rohingya melarikan diri dari negeri Rakhine ke Bangladesh selepas Myanmar melakukan operasi ketenteraan yang disifatkan penghapusan etnik pada Ogos tahun lalu.
“Mereka melarikan diri ke Bangladesh untuk mendapat perlindungan dan sangat berterima kasih kepada kerajaan negara itu,
“Mereka takut tentang apa yang akan berlaku selepas ini sekiranya pulang ke Myanmar dan merasa tertekan dengan kurangnya maklumat yang diterima mereka,” kata sekumpulan 42 agensi bantuan dan organisasi awam dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Selain itu, pihak berkuasa Bangladesh bimbang sekiranya pelarian Rohingya sekali lagi cuba melarikan diri ke negara-negara di rantau Asia Tenggara dengan menaiki bot.
Minggu ini, pengawal pantai Bangladesh menyelamatkan 33 pelarian etnik Rohingya dan menahan enam penyeludup manusia yang dilaporkan menaiki bot nelayan menuju ke Malaysia, di Teluk Bengal. – AFP/AGENSI










