KUALA LUMPUR 31 Okt. – Seorang bekas jurulatih pasukan terjun kebangsaan yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan merogol atlet wanita sukan tersebut, tahun lalu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.

Hakim Datuk Azman Ahmad memerintahkan demikian terhadap Huang Qiang, 36, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen.
Hakim berkenaan dalam keputusannya berkata, hakim Mahkamah Sesyen di sini telah terkhilaf dalam membuat keputusan melepas dan membebaskan lelaki tersebut tanpa memanggilnya membela diri pada 9 April lalu.
“Keterangan dalam aplikasi WeChat dan keterangan empat saksi pendakwaan adalah boleh diterima sebagai keterangan fakta yang sama dan tidak memprejudiskan kes terhadap responden (Huang Qiang).
“Selepas meneliti kesemua alasan penghakiman serta meneliti keterangan saksi dan rakan-rakan mangsa, dengan ini mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan responden membela diri,” katanya dalam prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd. Anas mewakili pihak pendakwaan.











