KLANG – Seorang wanita warga emas retak tulang lengan tangan kanan serta bengkak pada pipi selepas diragut oleh menantunya sendiri di sebuah rumah di Bukit Kapar, Kapar di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa berusia 70 tahun itu turut kehilangan seutas rantai leher dianggarkan bernilai RM5,000 selepas diragut suspek berusia 43 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, berdasarkan laporan oleh ahli keluarga mangsa, kejadian berlaku selepas suspek masuk ke dalam bilik tidur ibu mertuanya sebelum menarik rantai leher yang berada pada badan mangsa.
Beliau berkata, suspek yang menutup muka dengan sehelai kain sapu tangan kemudiannya bertindak keluar daripada pintu depan rumah sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami retak tulang lengan kanan serta bengkak pada pipi kanan selepas cuba menghalang lelaki itu.
“Dia kini menerima rawatan di Hospital Shah Alam.
“Seutas rantai emas milik mangsa turut dilarikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










