Remaja 16 tahun curi, jual dua motosikal diberkas polis - Utusan Malaysia

Remaja 16 tahun curi, jual dua motosikal diberkas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM – Kegiatan licik seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dalam kegiatan mencuri dan menjual motosikal di sekitar daerah ini terbongkar apabila diberkas polis, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, suspek yang tidak bersekolah itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Haji Mahmudin di sini pukul 6.55 petang.

Katanya, selepas disoal siasat, suspek mengaku mencuri dan menjual dua motosikal jenis Honda C70 dan Honda C100 di dua lokasi berasingan.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam, di sini, hari ini.
 
Nor Azmi berkata, susulan penahanan itu, polis turut memberkas seorang lagi suspek berusia 58 tahun pada hari sama di stesen minyak terbengkalai dan merampas Honda C100 yang dinaiki suspek.

“Hari ini kita menahan seorang lagi suspek berusia 23 tahun di pekarangan sebuah hotel di Sungai Besar dan merampas Honda C70 yang dinaiki,” katanya.

Nor Azmi memberitahu, siasatan awal juga mendapati suspek pertama mengaku menjual motosikal itu kepada dua suspek terbabit.

“Semakan mendapati suspek berusia 58 tahun memiliki rekod lampau jenayah dan dadah manakala suspek berusia 23 tahun pula memiliki satu rekod lampau dadah. Bagaimanapun, suspek utama tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN