Rekahan tanah: Kerajaan tunggu laporan lengkap sebelum ambil langkah penyelesaian - Utusan Malaysia

Rekahan tanah: Kerajaan tunggu laporan lengkap sebelum ambil langkah penyelesaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian yang sesuai bagi membantu keluarga Orang Asli yang terjejas akibat kejadian rekahan tanah di Kampung Pawong, Pos Slim, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, kira-kira dua minggu lalu.

Perkara itu disuarakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik yang mana usaha untuk membantu mangsa akan dilakukan sebaik sahaja laporan lengkap struktur tanah diperoleh daripada Jabatan Mineral dan Geosains serta saranan daripada agensi-agensi berkaitan termasuklah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

“Sebarang langkah penyelesaian termasuk kemungkinan pemindahan semula mangsa-mangsa terlibat ke kawasan yang selamat akan ditentukan selepas kita menerima laporan lengkap dalam tempoh terdekat ini.

“Kita mahukan setiap mangsa yang terlibat mendapat pembelaan sewajarnya selain memastikan keselamatan mereka terjamin. Setakat ini bantuan awal berupa keperluan asas telah pun diberikan dan kesemua mangsa membabitkan 38 orang penduduk ketika ini tinggal di kediaman ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa meninjau kawasan kejadian dan bertemu rakyat di Kampung Pawong di sini hari ini.

Hadir sama meninjau lokasi kejadian ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng; Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Hafez Mubin Mohd. Salleh dan Tok Batin Kampung Pawong, Ismail Balah.

Tambah Dr. Md. Farid, bantuan kepada para mangsa juga akan turut melibatkan penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

Sementara itu, Abu Bakar ketika berucap semasa lawatan itu mahu masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa selain memastikan keselamatan setiap ahli keluarga masing-masing.

“Pada masa sama, saya ingin mengingatkan agar setiap pembangunan yang dijalankan di mana-mana lokasi haruslah mengambil kira implikasi ke atas alam sekitar dan rakyat agar kejadian bencana seumpama ini tidak berlaku.

Pada 23 Oktober lalu, enam buah rumah dalam satu deretan penempatan yang dibina pada tahun 2008 terpaksa dikosongkan susulan rekahan tanah berlaku kira-kira pukul 3 petang.

Dalam kejadian itu, rekahan sepanjang 50 meter dengan lebar 1.2 meter serta kedalaman 1.5 meter dikesan di lokasi kejadian manakala kesemua penduduk yang terjejas telah diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.

Dalam pada itu, Hafez Mubin menyatakan kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah bekalan air bersih untuk penduduk di kawasan itu dengan segera. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN