Rejim Pol Pot kejam - Utusan Malaysia

Rejim Pol Pot kejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH 16 Nov. – Dua pemimpin rejim Khmer Rouge didapati bersalah atas tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam keputusan bersejarah selepas hampir 40 tahun kejatuhan rejim yang menyebabkan kematian kira-kira dua juta penduduk Kemboja.

Bekas Ketua Khmer Rouge, Khieu Samphan, 87, dan ‘Abang Nombor 2’, Nuon Chea, 92, merupakan dua anggota pa­ling kanan kumpulan pelampau Maoist yang memerintah Kemboja dari 1975-1979.

Kekejaman pemerintahan rejim itu yang diketuai ‘Abang Nombor 1’ Pol Pot menyebabkan hampir dua juta penduduk Kemboja terkorban akibat dikerah kerja berlebihan, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai.

Keputusan Dewan Luar Biasa Mahkamah Kemboja (ECCC) itu adalah yang pertama yang memperakui jenayah pembunuhan beramai-ramai itu.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 2014 atas kesalahan melakukan keganasan dan pemindahan paksaan di Phnom Penh ketika April 1975.

Namun ECCC hari ini turut mendapati Nuon Chea bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk etnik Vietnam dan minoriti etnik Cham Islam, selain beberapa jenayah lain.

“ECCC mendapati Nuon Chea melaksanakan pemerintahan bersifat kuku besi bersama-sama Pol Pot, maka itu Nuon Chea bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua jenayah dilakukan.

“Ini termasuk jenayah pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Cham dan kumpulan keagamaan,” kata Ketua Hakim, Nil Nonn.

Khieu Sampan juga didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Vietnam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN