IPOH 14 Nov. – Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan secara jelas mengenai hak keistimewaan orang Melayu dengan tidak meminggirkan hak-hak kaum lain di negara ini.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi berkata, sebarang tindakan yang ingin diambil justeru mestilah tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di negara ini.
“Sepertimana yang diperkatakan oleh kepemimpinan Amanah sendiri, kita merasakan tidak perlu akan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Kita perlu mengambil kira keadaan tempatan dan semasa serta peruntukan undang-undang di Malaysia sebelum kita meratifikasi atau melaksana sebarang keputusan yang dibuat di peringkat antarabangsa,” katanya.
Asmuni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri berkata demikian selepas menyempurnakan program Wanita Inspirasi Ekonomi di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Zulfikri Osman dan Pengarah Mara Perak, Nor Zaini Abu Kassim.
Asmuni berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya selepas beberapa parti politik seperti UMNO dan Pas, membantah usaha meratifikasi ICERD kerana dikatakan akan menghakis hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam.
Dalam perkembangan berlainan, Asmuni berkata, beliau mahu mewujudkan Tabung Usahawan Muda peringkat negeri dalam pembentangan belanjawan Perak yang bakal berlangsung bermula 27 November ini.
Menurut beliau, pengwujudan tabung tersebut merupakan inisiatif baharu bagi membolehkan kerajaan negeri memberikan modal kepada mereka yang berminat dalam perniagaan selain daripada skim mikrokredit yang bakal diletakkan di bawah Yayasan Perak. – UTUSAN ONLINE










