JERLUN 9 Nov. – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan, tiada keperluan untuk negara ini meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) seperti yang dimahukan pihak tertentu.
Menurut beliau, dasar sedia ada di Malaysia telah mewujudkan keadaan yang aman damai dan atas sebab itu, tidak perlu untuk negara ini ‘meminjam’ dasar asing yang sudah tentu tidak mengambil kira persekitaran unik di Malaysia.
“Perkara itu perlu dinilai sedalam-dalamnya kerana kita tidak mahu sesuatu yang melanggar Perlembagaan Persekutuan dibawa masuk ke negara ini.
“Kalau kita faham, tujuan ICERD adalah untuk memberi kesamarataan kepada golongan minoriti tetapi dalam negara ini, kita ada satu keadaan unik iaitu pihak yang terpinggir dari arus pembangunan perdana adalah golongan majoriti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada lebih 100 pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat tinggi antaranya diploma, ijazah dan ijazah kedoktoran falsafah di di sini hari ini.
Mukhriz menambah, atas faktor yang dinyatakannya itu, beliau berpandangan situasi sebenar di negara ini langsung tidak sama dengan asas kewujudan ICERD.
“Dalam hal ini saya fikir ramai yang berpandangan supaya kepentingan majoriti mesti diberi pertimbangan sewajarnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Maka saya berpendirian tiada keperluan untuk kita meratifikasi ICERD. Dari semasa ke semasa, kerajaan akan melihat apa lagi yang boleh dibuat bagi memastikan keadilan untuk semua pihak tercapai tetapi tidak semestinya menerusi ICERD,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Besar berkata, Belanjawan Kedah 2019 yang akan dibentangkannya pada Ahad ini akan dipastikan berpijak di bumi nyata berpandukan kepada status semasa kewangan negeri dan bukannya bersifat ‘syok sendiri’.










